Laporan Audit: Tidak patuh pengurusan kewangan, negara rugi lebih RM620 juta

Laporan Audit: Tidak patuh pengurusan kewangan, negara rugi lebih RM620 juta

KUALA LUMPUR,. Ketidakpatuhan kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan telah menyebabkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.07 juta pada 2020.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, RM499.19 juta melibatkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, daripada RM104.79 juta kerugian wang awam, RM81.69 juta merupakan penalti belum tuntut dan tidak dikenakan Jabatan Imigresen manakala pembaziran RM4.79 juta melibatkan peralatan lewat diterima dan tidak dipasang di Istana Budaya.

“Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 29 syor, iaitu empat syor untuk pengesahan penyata kewangan dan 25 syor untuk pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian dan jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada Bernama berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Nik Azman berkata pengauditan pematuhan melibatkan sejumlah RM899.44 juta telah dilaksanakan terhadap tiga kementerian dan lima jabatan Persekutuan meliputi aspek pengurusan kontrak berjumlah RM772.40 juta, perolehan kerajaan (RM54.8 juta ) dan kutipan hasil (RM72.24 juta).

Sementara itu, dalam Penegasan Perkara (Emphasis of Matter) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, Ketua Audit Negara menyatakan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2020 berjumlah RM879.560 bilion atau 62.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Hutang Persekutuan meningkat sebanyak RM86.562 bilion atau 10.9 peratus berbanding RM792.998 bilion atau 52.4 peratus pada tahun 2019.

Menurut Ketua Audit Negara, sebanyak 50.4 peratus atau RM98.058 bilion daripada RM194.555 billion pinjaman baharu pada 2020 digunakan untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang telah matang.

“Ini menunjukkan kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu untuk membayar pinjaman matang dan penggunaan dana Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM8.265 bilion bagi pelunasan Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta dan Komitmen Jaminan,” katanya.

Selain itu, sejumlah RM2.65 bilion digunakan untuk membayar perbelanjaan perkhidmatan sokongan hospital dan klinik di Kementerian Kesihatan serta penyenggaraan fasiliti di Kementerian Pendidikan yang sebelum ini dibayar menggunakan peruntukan belanja mengurus.

“Dana Kumpulan Wang Pembangunan yang dibiayai melalui pinjaman sepatutnya digunakan untuk membiayai projek pembangunan fizikal yang menyumbang kepada pembentukan modal baharu yang boleh meningkatkan pembangunan Negara serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk menjana aktiviti ekonomi,” katanya.

Sementara itu, hasil kerajaan Persekutuan merosot 14.9 peratus kepada RM225.075 bilion pada 2020 berbanding RM264.415 bilion tahun sebelumnya manakala perbelanjaan COVID-19 berjumlah RM38.019 bilion.

Perbelanjaan mengurus pula merosot 14.7 peratus kepada RM224.6 bilion, iaitu penurunan sebanyak RM38.743 bilion berbanding tahun 2019 manakala perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM51.36 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM2.813 bilion atau 5.2 peratus berbanding RM54.173 bilion pada 2019.

Nik Azman berkata secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM87.645 bilion dengan nisbah defisit kepada KDNK pada kadar 6.2 peratus, berbanding 3.4 peratus atau RM51.37 bilion pada 2019.

Menurut kenyataan itu LKAN ini mengandungi tiga komponen utama iaitu pengesahan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi Tahun berakhir 31 Disember 2020, analisis kewangan Kerajaan Persekutuan dan pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan.

Nik Azman berkata secara keseluruhannya, penyata kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 dan rekod perakaunannya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

Ia merupakan pembentangan LKAN kedua di Dewan Rakyat tahun ini selepas LKAN Tahun 2019 Siri 2 dibentangkan pada 28 September lepas dan hari ini juga, Jabatan Audit Negara memberi taklimat kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen berhubung isu-isu utama penemuan Audit.

LKAN ini boleh diakses oleh orang awam di laman sesawang http://www.audit.gov.my mulai 10.10 pagi ini manakala isu-isu dalam LKAN Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 pula akan dimuat naik di Portal Auditor General’s Dashboard (AGD) mulai pukul 11 pagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )