Langkah kurangkan defisit, kedudukan fiskal negara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Langkah kurangkan defisit, kedudukan fiskal negara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menjawab persoalan mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan defisit kepada sasaran 3.2 peratus menjelang 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT)

Pada sesi itu juga, Anwar akan turut menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang meminta kerajaan menyatakan kekuatan fiskal negara ekoran matawang Ringgit yang semakin melemah dan solusi bagi mengimbangi situasi itu.

Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) pula meminta Perdana Menteri menyatakan usaha penambahbaikan tata kelola kerajaan dari segi perolehan, pengagihan projek, peruntukan dan seumpamanya yang mampu memberi impak secara menyeluruh agar selari dengan corak dasar MADANI dalam memerangi segala penyalahgunaan kuasa dan ketirisan.

Pada sesi jawab lisan, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta Menteri Luar menyatakan langkah yang telah diambil oleh Wisma Putra dalam membantah perbuatan membakar kitab suci Al-Quran oleh seorang ahli politik sayap kanan Sweden di Stockholm, baru-baru ini.

Selain itu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) pula bertanyakan mengenai usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengekang lebih ramai menjadi mangsa sindiket pekerjaan.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan hari kedua perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa, dijangka melibatkan Kementerian Luar, Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Ekonomi.

Persidangan kali ini berlangsung selama 31 hari sehingga 4 April.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )