KPT laksana sistem ‘single window, single offer’ elak pertindihan tawaran ke pendidikan tinggi

KPT laksana sistem ‘single window, single offer’ elak pertindihan tawaran ke pendidikan tinggi

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan sistem single window, single offer bagi permohonan kemasukan ke matrikulasi dan universiti awam (UA) untuk mengelakkan pertindihan tawaran kepada pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata menerusi sistem itu, pelajar yang memohon hanya akan menerima satu tawaran sahaja berdasarkan keputusan terbaik dan sistem meritokrasi yang ditetapkan.

“Kalau sebelum ini kita mempunyai sistem single window sahaja tetapi ia tak ada single offer (tawaran tunggal). Sebab itu kalau kita lihat kebiasaannya ada pelajar yang mendapat tawaran daripada matrikulasi, dia juga mendapat tawaran daripada universiti.

“Kali ini, kita akan melaksanakan satu sistem sahaja iaitu yang dipanggil sebagai sistem single window, single offer yang disekalikan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai penyeragaman kurikulum dan standard penilaian antara matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Zambry berkata mekanisme penggredan bagi ketiga-tiga institusi itu kekal seperti sedia ada iaitu sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang dipantau oleh lembaga-lembaga berkaitan.

“Maksudnya, tidak akan ada perubahan kerana kita membuat penilaian yang sama, dan dalam konteks STPM, Majlis Peperiksaan Malaysia akan terus membuat penilaian penggredan.

“Matrikulasi dan asasi (juga) kekal dengan sistem penilaian yang sedia ada, yang dikendalikan oleh lembaga-lembaga yang telah dilantik untuk menguruskan sistem tersebut,” katanya.

Menjawab soalan asal Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu pelan tuntas pemindahan pengurusan Program Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) kepada KPT, Zambry berkata langkah sewajarnya sedang dirangka bagi tujuan pemindahan itu termasuk urusan berkaitan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.

“Dalam konteks kebajikan, KPT akan memastikan prinsip ‘No Less Favourable’ akan dirujuk.

“Justeru, proses pemindahan tadbir urus ini akan diperhalusi dengan teliti oleh Jawatankuasa Pemandu Bersama Tingkatan 6 dan Matrikulasi antara KPT dan KPM, dibantu oleh agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi memastikan pemindahan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

Menurut Zambry, dari sudut penamatan pertindihan birokrasi dan penjimatan kos, penyeragaman di bawah KPT dijangka mengurangkan pertindihan fungsi antara kedua-dua kementerian, khususnya dalam aspek perancangan kurikulum, pentaksiran, pengurusan kemasukan dan pemantauan kualiti.

“Penyatuan tatakelola ini membolehkan perkongsian sumber, penyeragaman sistem data dan kos operasi yang optimum tanpa menjejaskan kebajikan pelajar atau kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff berhubung jaminan terhadap skim perkhidmatan dan senioriti pensyarah matrikulasi serta pengambilan pelajar baharu, Zambry berkata perbincangan lanjut telah diadakan bersama JPA bagi merangka skim sedia ada di peringkat KPM untuk dipindahkan ke KPT.

Beliau berkata proses itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa perancangan dan persediaan sepanjang tahun ini serta fasa pelaksanaan pengoperasian program matrikulasi yang akan bermula pada 2027.

Zambry berkata perkara itu memerlukan pindaan beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Pendidikan 1996 dan Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This