
KPT jamin pinda kelemahan AUKU 1971
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan meminda segala kelemahan yang terdapat dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara perkara yang sedang dipertimbangkan untuk dipinda dalam akta tersebut adalah supaya persatuan pelajar universiti dapat menguruskan sendiri akaun kewangan persatuan mereka.
“(Perkara) itu dalam proses dan kita akan cuba bawa perkara ini dalam penggal Parlimen yang akan datang,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang berpendapat bahawa AUKU masih mempunyai beberapa peruntukan yang menyekat kebebasan pelajar universiti dalam pelbagai aspek, justeru Dr Yii ingin tahu sama ada KPT akan melaksanakan dialog bersama pihak berkaitan bagi mengembangkan minda anak muda dan generasi pelapis masa depan.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan telah memberi kebebasan kepada pelajar universiti untuk menyertai mana-mana parti politik sama ada di dalam atau luar kampus termasuk menawarkan diri menjadi bertanding dalam pilihan raya.
“Semua perkara itu telah pun dilonggarkan dan kemungkinan termasuk perkara-perkara dicadangkan oleh Yang Berhormat (Mersing),” katanya bagi menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing).
Sebelum itu, Muhammad Islahuddin bertanya sama ada kementerian akan memberi kelonggaran kepada pertubuhan parti politik untuk menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi serta membudayakan politik matang selaras dengan reformasi pendidikan.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata memandangkan kerajaan tiada cadangan memansuhkan AUKU 1971, maka lantikan naib canselor universiti awam oleh menteri akan diteruskan dengan mengikut prosedur dan ketetapan akta berkenaan yang telah diluluskan di Parlimen.
Beliau menjawab soalan asal dikemukakan Muhammad Islahuddin yang ingin tahu sama ada sama ada kerajaan akan meneruskan lantikan naib canselor universiti oleh menteri, susulan kerajaan mengambil keputusan tidak memansuhkan AUKU 1971.
— BERNAMA