KPDNHEP teliti cadangan lanjut Program Jualan Keluarga Malaysia sehingga akhir Ramadan

KPDNHEP teliti cadangan lanjut Program Jualan Keluarga Malaysia sehingga akhir Ramadan

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti cadangan untuk melanjutkan Program Jualan Keluarga Malaysia sehingga akhir Ramadan ini berikutan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif tersebut.

meneliti cadangan untuk melanjutkan Program Jualan Keluarga Malaysia sehingga akhir Ramadan ini berikutan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif tersebut.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosol Wahid, bagaimanapun berkata ia bergantung kepada bajet yang diberikan kepada kementerian itu.

“Bagi melaksana program ini kita perlu ada beberapa rakan strategik yang komited, setakat ini kita ucap terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta 196 rakan strategik. Di kawasan pedalaman kita sedang cari jalan sampaikan program ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk mengekalkan Program Jualan Keluarga Malaysia khasnya ketika musim-musim perayaan di seluruh negara.

Program Jualan Keluarga Malaysia yang bermula 2 Dis tahun lepas dan dijadual berakhir hujung bulan ini bertujuan membantu meringankan kos sara hidup pengguna berpendapatan rendah yang terjejas akibat COVID-19 dan bencana banjir.

Program berkenaan menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran biasa.

Sementara itu menjawab soalan berasingan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkaitan isu kekurangan minyak masak paket bersubsidi, Rosol berkata KPDNHEP melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengekang penyelewengan dan aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi.

Beliau berkata ini termasuk membuat risikan ke atas pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit dengan sasaran terpilih yang disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi termasuk risikan ke negara jiran.

Jelasnya setakat ini, 15 syarikat pembungkus digantung kuota skim minyak masak (COSS) dan lima syarikat pemborong digantung lesen urus niaga minyak masak (Lesen Borong CSA).

“Sehingga 17 Mac 2022, KPDNHEP menjalankan 6,955 pemeriksaan ke atas premis-premis yang terbabit dengan urus niaga minyak masak, 25 kertas siasatan dibuka dan 94 premis masih dalam tindakan pengauditan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) berhubung jangkaan jumlah subsidi ditanggung kerajaan bagi mengekalkan subsidi minyak masak tahun ini, Rosol berkata ia dianggarkan melebihi RM2 bilion berbanding RM1.9 bilion pada tahun lepas.

“Ada cadangan untuk meningkatkan sedikit harga (minyak masak paket) kepada RM3, namun cadangan tersebut perlu diteliti secara halus untuk pastikan dalam keadaan rakyat susah dan tertekan ia tidak menambah beban rakyat ketika ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )