KPDN laksana pendekatan menyeluruh bagi memastikan kestabilan pasaran

KPDN laksana pendekatan menyeluruh bagi memastikan kestabilan pasaran

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus melaksanakan pendekatan menyeluruh merangkumi pemantauan harga berasaskan data, intervensi dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kestabilan pasaran di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Menjawab pertanyaan lisan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Arau, Timbalan Menteri KPDN Senator Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata pemantauan harga barangan keperluan asas dilaksanakan secara berterusan di semua peringkat peruncitan, termasuk pasar raya, hipermarket, mini market, pasar awam dan kedai runcit.

Kementerian menjelaskan bahawa data harga yang dikumpulkan melalui sistem pemantauan dianalisis secara berkala, sekali gus membolehkan pihak berkuasa mengesan pergerakan harga yang tidak munasabah pada peringkat awal.

Sekiranya kenaikan harga didapati tidak selari dengan faktor kos sebenar, siasatan akan dijalankan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

KPDN mengakui bahawa kos logistik dan pengangkutan kekal sebagai antara penyumbang utama kepada perbezaan harga antara wilayah, khususnya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Bagi menangani isu ini, kerajaan terus melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi serta dapat dinikmati rakyat pada harga yang lebih stabil dan berpatutan.

Kajian penstabilan harga yang disiapkan oleh kementerian turut mengesahkan bahawa komponen logistik dan pengangkutan merupakan faktor terbesar yang mendorong perbezaan harga antara wilayah, sekali gus menonjolkan cabaran sebenar kos sara hidup yang dihadapi pengguna di lapangan.

Susulan dapatan kajian tersebut, kerajaan telah menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal Penstabilan Harga yang melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pemain industri bagi merangka pelan tindakan yang komprehensif dan bersepadu.

Kumpulan kerja ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan kos logistik, memperkukuh rantaian bekalan serta mengoptimumkan pengedaran antara wilayah bagi mengurus kos sara hidup secara lebih berkesan dan mampan.

Pada masa sama, usaha membanteras kartel yang menjejaskan persaingan sihat dan membebankan pengguna akan terus dipergiat di semua peringkat rantaian bekalan, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pasaran yang adil, telus dan mampan.

CATEGORIES
Share This