
KKDW perkenal inisiatif Desa Kirana sempena TMM 2026
KUALA LUMPUR,. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkenalkan inisiatif Desa Kirana dengan memfokuskan lima tarikan utama pelancongan desa sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang berkata ia meliputi memperkenalkan warisan dan budaya setempat, mengetengahkan keindahan dan keunikan alam semulajadi, menampilkan gastronomi setiap negeri, mempamerkan produk tradisional serta menyediakan pengalaman pelancongan setempat yang autentik.
“Inisiatif ini juga usaha kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti desa dengan mempromosikan kawasan berkenaan melalui pakej komprehensif yang berpotensi menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara, termasuk golongan digital nomad atau pengembara kerja digital,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai kriteria yang ditetapkan KKDW di bawah inisiatif itu dan potensinya untuk membantu pembangunan serta ekonomi antara bandar dan luar bandar.
–BERNAMA

