KKD peruntuk RM4.6 bilion bina 1,661 menara komunikasi di luar bandar

KKD peruntuk RM4.6 bilion bina 1,661 menara komunikasi di luar bandar

KUALA LUMPUR,. Peruntukan RM4.6 bilion di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) adalah melalui dana Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) digunakan untuk membina 1,661 menara baharu di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.

Kementerian Komunikasi Digital (KKD) menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan projek ini akan meningkatkan liputan jalur lebar 4G di kawasan berpenduduk di luar bandar dan pedalaman seperti yang disasarkan di bawah JENDELA.

“Tumpuan diberikan kepada penyediaan perkhidmatan 4G kerana ia merupakan perkhidmatan yang telah matang dan sejagat berbanding dengan perkhidmatan 5G yang masih baharu serta memerlukan langganan dan peranti yang khusus,” katanya menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu apakah manfaat daripada pelaburan RM4 bilion itu.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung status capaian internet seluruh negara, KKD memaklumkan peratusan capaian internet 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negara setakat suku keempat 2022 adalah 96.92 peratus.

“Sehingga suku keempat 2022, Selangor telah mencatatkan sebanyak 99.87 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk manakala, kelajuan purata kelajuan mudah alih di Selangor mencatatkan bacaan 150.37 Mbps melepasi daripada sasaran JENDELA Fasa 1 iaitu 35Mbps, setakat Disember 2022,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )