‘Kita lawanlah’, Dr M tunjuk penumbuk pada Anwar
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini bergurau dengan media mengatakan mereka sengaja mahu melagakan beliau dengan Anwar Ibrahim, orang yang disebut-sebut sebagai penggantinya.
Pada sidang media lewat petang tadi, pemberita meminta reaksi Mahathir berhubung pelantikan isteri setiausaha politiknya, Junaidah Kiting sebagai pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Sejurus selepas ulasan perdana menteri itu, pemberita kemudian meminta reaksi Anwar yang duduk bersebelahannya.
“Sengaja,” kata Mahathir kepada pemberita, selepas Anwar selesai menjawab pertanyaan.
“Anda mahu saya lawan dia? Baiklah, kita lawanlah,” katanya sambil mengangkat dua penumbuk kepada presiden PKR itu, disambut gelak tawa hadirin.
Mengenai isu berbangkit, Mahathir bertegas mana-mana individu yang berkelayakan boleh dilantik untuk menggalas jawatan dan tugas yang perlu.
“Ada kalanya, kita pilih juga orang yang ada kaitan sedikit dengan parti kerana dia mempunyai kelayakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Negara hari ini.
“Amat kecewalah orang yang bekerja bertungkus-lumus untuk menangkan PH, tapi ikut keputusan yang dibuat kita tak boleh lantik mereka walaupun mereka berkelayakan.” Beliau menjawab pertanyaan mengenai langkah pengurusan tertinggi AIM melantik Junaidah, isteri kepada Abu Bakar Yahya, pada Januari.
Junaidah sebelum ini berkata tiada campur tangan daripada Pejabat Perdana Menteri dalam pelantikannya. Beliau menambah pihak yang menuduh kronisme kerana dirinya isteri kepada setiausaha politik perdana menteri tidak adil memandangkan pelantikan diputuskan oleh pengurusan tertinggi AIM.
Sementara itu, PH turut membincangkan panjang lebar mengenai Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini. Mahathir berkata belanjawan itu akan membawa sedikit “perubahan”.
“Harap menteri kewangan (Lim Guan Eng) ambil kira pandangan ini dan buat pengumuman dalam ucapan nanti,” katanya. Mahathir berharap rakyat dapat bersabar dan menunggu pengumuman rasmi daripada Lim.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/10/07/kita-lawanlah-dr-m-tunjuk-penumbuk-pada-anwar/