Ketua Pembangkang: Malaysia Perlu Kekal Neutral, Tangani Tarif AS Secara Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 — Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, menggesa kerajaan supaya bertindak lebih terbuka dan inklusif dalam menangani impak tarif balas yang diumumkan oleh Amerika Syarikat terhadap barangan import dari Malaysia.
Dalam ucapan di Dewan Rakyat hari ini, beliau menyarankan penubuhan semula Jawatankuasa Kokus Parlimen melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan strategi rundingan perdagangan secara telus, sepertimana yang pernah dilakukan semasa rundingan CPTPP dahulu.
“Kita tidak mahu Malaysia menjadi mangsa dalam perang dagangan antara dua kuasa besar dunia. Polisi neutral perlu dikekalkan,” tegas beliau sambil memberi amaran agar Malaysia tidak dilihat terlalu berpihak kepada China mahupun blok kuasa tertentu.
Peringatan Terhadap Penurunan Lebihan Dagangan
Hamzah turut menarik perhatian Dewan terhadap penyusutan lebihan dagangan Malaysia, daripada RM255 bilion pada 2022 kepada RM136 bilion pada 2024 – sebelum tarif dikenakan. Menurutnya, hal ini menunjukkan ekonomi negara sudah pun mengalami tekanan sebelum faktor luaran seperti tarif AS mula berkuat kuasa.
“Saya mohon perkara ini tidak dipandang ringan. Kerajaan perlu teliti impaknya bukan hanya kepada eksport E&E tetapi juga sektor lain seperti perabot, produk getah dan sarung tangan,” katanya.
Cadangan Strategik Hadapi Kesan Tarif
Antara cadangan beliau kepada kerajaan ialah:
• Menubuhkan Jawatankuasa Parlimen Bipartisan bersama kerajaan negeri yang mempunyai kepentingan industri eksport seperti Kedah dan Kelantan.
• Memberikan insentif eksport dan pengecualian cukai sementara (tax delay) kepada syarikat-syarikat eksport agar mereka mampu bertahan dan mencari pasaran baharu.
• Menggalakkan kempen “Beli Barangan Malaysia” untuk meningkatkan permintaan domestik dan mengimbangi kebergantungan kepada pasaran luar.
Hamzah turut memberi amaran terhadap kemungkinan tarif lebih ketat dikenakan oleh AS jika Malaysia terus bergantung kepada komponen dari China dalam rantaian bekalan. Beliau menggesa kerajaan agar bersedia menghadapi potensi tekanan tambahan daripada Washington dalam bentuk syarat ketat asal negara (country of origin) pada produk tertentu.
Pertanian dan Keselamatan Makanan Perlu Diutamakan
Hamzah juga memberi penekanan kepada keperluan memperkukuh sektor pertanian dan keselamatan makanan negara. Beliau menegaskan bahawa kesan jangka panjang tarif AS boleh menjejaskan bekalan makanan negara sekiranya isu ini tidak ditangani segera.
“Food security perlu jadi agenda utama kerana tarif ini mungkin berkuat kuasa sepanjang empat tahun pentadbiran Presiden Trump,” katanya.
Desak Tangguh Kenaikan Harga RON95 dan SST
Sebagai langkah keprihatinan terhadap rakyat dalam suasana ekonomi mencabar, Hamzah mencadangkan agar kerajaan menangguhkan:
• Kenaikan harga petrol RON95 yang dijadual bermula Jun 2025
• Peluasan skop cukai SST
• Kenaikan tarif elektrik pada Julai 2025
Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan membeli 30 buah pesawat Boeing di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
“Kalau boleh ditangguh, kita tangguhkan dahulu. Ini masa untuk jaga rakyat dan industri,” kata Hamzah.
-ParliamentNews