Ketua pembangkang cadang kerajaan tangguh projek mega, fokus soal kesihatan awam, kemiskinan

Ketua pembangkang cadang kerajaan tangguh projek mega, fokus soal kesihatan awam, kemiskinan

KUALA LUMPUR,. Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) harus ditumpukan kepada usaha menyediakan keperluan rakyat khususnya dalam sektor kesihatan selain menyelesaikan soal kemiskinan dan pengangguran.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan seharusnya membelanjakan peruntukan yang besar bagi menyediakan prasarana akses kemudahan kesihatan sejajar dengan keperluan rakyat menuju fasa endemik COVID-19 serta bagi berdepan isu kesihatan lain.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menangguhkan perlaksanaan projek-projek mega dalam RMK12 dan menggunakan dana untuk membantu rakyat khusus golongan miskin di bandar, luar bandar dan pedalamaan.

“Parlimen ini harus digunakan sepenuhnya (untuk) menuntut supaya RMK12 ini berikan tumpuan kalau perlu tangguhkan projek-projek besar, tangguh projek lapangan terbang baharu, ECRL (Projek Laluan Rel Pantai Timur) dan teliti semula MRT (Projek Transit Aliran Massa 3).

“Apa faedah kita nak teruskan dalam keadaan rakyat kelaparan, menganggur, tak cukup makan dan tak cukup mutu pendidikan sekarang.

“Secara dasarnya ialah keperluan untuk menyediakan kemudahan yang cukup dan membelanjakan secara besar bagi kemudahan kesihatan terutama bagi yang miskin bandar dan di luar bandar,” katanya pada sesi perbahasan RMK12, di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Presiden PKR itu turut mencadangkan kerajaan Persekutuan mengkaji semula sasaran purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025, yang disifatkannya tidak realistik jika dilihat kepada situasi terkini kadar kemiskinan, pengangguran dan pertumbuhan lembap ekonomi negara akibat penularan wabak COVID-19.

Anwar turut mengesyorkan agar jawatankuasa khas pemilihan Parlimen diwujudkan sebagai badan pemantau kepada pentadbiran agensi kerajaan, badan berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya lebih telus dan bertanggjungjawab.

“Langkah transformasi ini perlu dilakukan bagi memastikan pentadbiran badan-badan ini dapat berfungsi dengan mampan menerusi pemantauan jawatan kuasa khas ini,” katanya.

Anwar juga menyarankan kerajaan terus memastikan institusi penguat kuasa, badan pendakwaan dan kehakiman terus bebas agar kepercayaan rakyat terhadap institusi itu tidak terhakis.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )