Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli
KUALA LUMPUR,. Atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan SEA Filipina pada penghujung bulan ini dinasihat supaya mendapatkan pandangan pegawai Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil ubat-ubatan tertentu bagi mengelak terlibat dengan penggunaan bahan terlarang.
Kebimbangan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli kerana tidak mahu insiden itu berlaku sekaligus menjejaskan nama negara pada temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung pada 30 Nov hingga 11 Dis ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 berkata satu sesi penerangan akan diadakan ISN berhubung prosedur ujian anti-doping termasuk atlet yang perlu mengambil ubat-ubatan khas atau TUE kepada pengurus pasukan dan atlet pada kem latihan pusat fasa akhir dari 19 hingga 21 Nov ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Bangunan ISN, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Menurut kod Jawatankuasa Antidoping Dunia (WADA), seseorang atlet yang perlu menggunakan ubat yang kebetulan termasuk dalam senarai bahan dilarang untuk merawat penyakit atau keadaan, perlu mengemukakan Pengecualian Penggunaan Terapeutik (TUE) kepada penganjur bagi tujuan pengesahan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Faedzal memaklumkan hampir 90 peratus atlet negara ke Sukan SEA Filipina 2019 telah mendapat suntikan vaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan penuh di ISN setakat ini.
Beliau mendedahkan ada sebahagian daripada baki 10 peratus atlet berkenaan, termasuk mereka yang berpangkalan di luar negara telah mendapatkan suntikan vaksin dan pemeriksaan kesihatan penuh di ISN, baru-baru ini.
Katanya seramai 52 orang pegawai ISN terdiri daripada pegawai perubatan, fisioterapi dan tukang urut, termasuk 15 pegawai analisis prestasi atlet akan terlibat pada Sukan SEA 2019.
Terdahulu, Ahmad Faedzal menerima kunjungan wakil Yakult (M) Sdn Bhd yang diketuai Pengarah Urusannya Hiroshi Hamada dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Liga Jepun Cerezo Osaka, Horiaki Morishima dan Pengarah Jualan dan Pemasaran kelab berkenaan, Naoto Ihara di Bangunan ISN.
Kunjungan berkenaan adalah penghargaan ISN kepada Yakult Malaysia yang menerima anugerah Platinum pada majlis Putra Brands Awards 2019, baru-baru ini.
Wakil Yakult Malaysia dan kelab Cerezo Osaka turut dibawa melawat beberapa fasiliti yang terdapat di ISN seperti makmal pemulihan dan makmal biomekanik, Juice Bar dan Jungle Gym.
ISN dan Yakult Malaysia telah menjalin kerjasama selama tiga tahun bermula Ogos 2017 sehingga Ogos 2020 yang menyaksikan Yakult Malaysia menjadi minuman probiotik rasmi ISN dan minuman probiotik pilihan atlet negara untuk tempoh berkenaan.
— BERNAMA