Ketepi sifat kepartian supaya Parlimen terus dihormati – Rais Yatim

Ketepi sifat kepartian supaya Parlimen terus dihormati – Rais Yatim

KUALA LUMPUR,. Ahli Dewan Negara dinasihat agar mengetepikan sifat kepartian supaya institusi Parlimen terus dihormati dari segi pentadbiran, perolehan dan pencapaiannya.

Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata Ahli Dewan Negara juga perlu menanamkan sifat bersekutu dalam diri masing-masing sekali gus dapat bersama-sama mengangkat isu kebajikan rakyat.

“Saya mengajak rakan-rakan supaya ingat sumpah kita. Kita perlu mengurangkan jurang antara parti.

“Lebih mengamalkan sikap persaudaraan, perlu lebih membuat kebajikan, ” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan dan Makan Malam Majlis Senator Malaysia di Bangunan Parlimen malam ini.

Turut hadir Presiden Majlis Senator Malaysia Datuk Seri Khairuddin Abd Samad dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Rais turut menyeru Ahli Dewan Negara agar memainkan peranan proaktif dalam menggembleng idea, tenaga dan kepakaran bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjaga.

“Sebagai senat kita mempunyai kuasa dalam negara untuk membantu rakyat. Senat itu sendiri memberi kuasa kepada kita.

“Kita boleh menggunakan peranan kita untuk memulakan langkah dengan membangkitkan syor yang boleh membantu rakyat dalam pelbagai isu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )