Kerajaan tumpu kukuh fiskal negara, kenal pasti sumber pertumbuhan baharu
KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan menumpukan kepada pengukuhan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu dan melaksanakan reformasi struktur ekonomi ke arah rantaian nilai lebih tinggi bagi mengukuhkan pertumbuhan serta meningkatkan daya saing dan produktiviti semua sektor, menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada sumber pertumbuhan baharu daripada sektor strategik yang dapat mempercepat kemasukan pelaburan baharu dan industri berteknologi tinggi dan mengutamakan pendigitalan seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa dan pusat data.
“Penekanan akan turut diberikan kepada sumber pertumbuhan baharu yang berpotensi dalam sektor berasaskan pertanian dan komoditi, terutamanya pertanian pintar dan biojisim serta sektor berkaitan pelancongan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai strategi dan langkah yang diambil kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi negara terutamanya kumpulan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Mengenai aspek pendigitalan dan automasi dalam kalangan perusahaan kecil dan mikro, Rafizi berkata 95 peratus perniagaan di Malaysia bersifat kecil dan mikro, justeru, mereka tidak tertumpu untuk menaik taraf perniagaan, sebaliknya, bagaimana untuk kekal menjalankan perniagaan pada setiap hari.
“Soal pendigitalan (bagi PMKS) mestilah difokuskan kepada produk dan penyelesaian digital yang sebenarnya secara terus menambah pendapatan mereka dan bukan memfokuskan kepada automasi atau aplikasi digital yang kebanyakannya lebih sesuai kepada perusahaan besar dan sederhana.
“Sehubungan itu, kementerian akan melancarkan inisiatif dalam tempoh beberapa minggu ini untuk memastikan pemahaman dan keserasian antara inovasi dan digital serta keperluan harian perusahaan (kecil dan mikro) untuk memastikan penerimagunaan yang lebih meluas,” katanya.
Rafizi berkata bagi kumpulan rentan, kerajaan akan memberi lebih banyak ruang kepada golongan B40 dan miskin tegar untuk menerima punca pendapatan yang berkelangsungan.
Menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), kerajaan menyasarkan 100,000 isi rumah miskin tegar dan golongan B40 untuk mendapat manfaat menerusi program tersebut pada tahun ini.
“Kita akan membuka ruang pemantauan selama 24 bulan dan menyasarkan tambahan sebanyak 50,000 isi rumah miskin tegar dan B40 menjelang 2024, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 150,000 dan kita mengambil pendekatan keseluruhan yang melibatkan agensi, sektor swasta dan orang ramai,” katanya.
— Bernama