
Kerajaan tidak boleh lalai soal sekuriti makanan – Mohamad
KUALA LUMPUR,. Kedudukan Malaysia yang berada pada tahap sederhana dalam aspek sekuriti makanan tidak boleh menyebabkan kerajaan lalai, sebaliknya perlu terus bersiap siaga melaksanakan pelbagai strategi terutama selepas mengambil kira kesan perubahan iklim termasuk banjir besar di Sumatera, Indonesia baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perubahan iklim kini semakin serius dan berlaku secara tidak menentu sekali gus berpotensi menjejaskan pengeluaran serta bekalan makanan negara.
Beliau berkata dari segi kedudukan antarabangsa, Malaysia berada di tempat kedua dalam kalangan negara ASEAN, kelapan di Asia Pasifik dan ke-41 daripada lebih 130 negara di dunia dalam aspek sekuriti makanan.
“Kedudukan ini menunjukkan tahap sederhana dan tidak terlalu cemas tetapi kita tidak boleh lalai. Sebab itu, kerajaan sentiasa membuat intervensi dan kerana ia penting, peruntukan kepada kementerian pun bertambah setiap tahun,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk C. Sivaraj yang ingin tahu sama ada kerajaan telah menilai secara holistik struktur pertanian negara bagi memastikan ia benar-benar mampu bertahan dalam krisis global yang berpanjangan.
–BERNAMA

