Kerajaan salur RM152.5 juta bagi program Skim Pinjaman Rumah Panjang Sarawak

Kerajaan salur RM152.5 juta bagi program Skim Pinjaman Rumah Panjang Sarawak

KUALA LUMPUR,. Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM152.5 juta kepada kerajaan Sarawak bagi program Skim Pinjaman Rumah Panjang dan sebanyak 8,915 pintu rumah panjang telah dibina dan dibaik pulih sehingga kini, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata pada 2020, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada kerajaan negeri bagi tujuan membantu membiayai program tersebut.

“Sebarang keperluan pada masa hadapan untuk meningkatkan peruntukan yang disediakan kepada program Skim Pinjaman Rumah Panjang Sarawak adalah bergantung pada kemampuan dan kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai jumlah peruntukan yang diluluskan bagi program berkenaan daripada kerajaan Persekutuan untuk Sarawak tahun ini.

Robert turut bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menambahkan dana tersebut memandangkan pertambahan permintaan daripada masyarakat.

Mohd Shahar berkata kerajaan Persekutuan menyambut baik sekiranya kerajaan negeri turut sama membantu menyumbangkan dana bagi program skim pinjaman tersebut.

“Ini memandangkan ia merupakan antara satu projek infrastruktur dan pembangunan sosioekonomi yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk negeri Sarawak,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )