Kerajaan permudah prosedur laksana projek prasarana rakyat
KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan memudahkan prosedur bagi menyegerakan projek prasarana rakyat supaya isu seperti sekolah dan klinik daif tidak terus berlarutan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi tujuan itu, pada tahun ini kerajaan menyasarkan membaiki 400 klinik daif yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan dan 380 sekolah daif dikenal pasti Kementerian Pendidikan dengan peruntukan RM1.2 bilion.
“Kita akan memberikan beberapa kelonggaran tentang had sebut harga perolehan kerja pembaikan walaupun ada proses tender, dipercepatkan supaya kita boleh jangka siap sekolah-sekolah ini diduduki anak-anak kita sebelum akhir tahun,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan Persekutuan serta pada masa sama bagi melaksanakan penyelenggaraan kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.
“RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan satu kaedah baharu untuk pegawai daerah, pegawai jajahan untuk Kelantan, residensi di Sarawak iaitu memberikan kuasa pegawai daerah dan khidmat jurutera daerah untuk memperbaiki jalan berlubang dan masalah-masalah kecil dalam temph segera tanpa mengikuti pandangan jabatan lain.
“RM50 juta disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi,” kata beliau.
Anwar berkata pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) untuk kesemua kerajaan negeri turut ditambah, iaitu RM5.2 bilion.
— BERNAMA