Kerajaan kenal pasti negara yang mahu terima pelarian
KUALA LUMPUR,. Kerajaan, menerusi Kementerian Luar, sedang mengenal pasti negara lain yang mahu menerima pelarian, terutamanya masyarakat Rohingya, yang tinggal di dalam negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datin Mastura Mohd Yazid.
Bagaimanapun, beliau berkata dasar kemanusiaan harus sentiasa diambil kira walaupun Malaysia bukan ahli kepada Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Yang paling penting adalah keselamatan dan nyawa mereka (pelarian) tidak terancam.
“Kita juga harus mengemas kini hal berkaitan perundangan di negara kita sendiri supaya sekiranya kita mengambil ketetapan untuk meneruskan juga usaha meratifikasi konvensyen ini, ia mesti dahulu mengimbangi hak warganegara kita berbanding dengan hak mereka yang berstatus pelarian di negara ini,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk A. Kesavadas yang ingin tahu mengenai langkah kerajaan yang berunding dengan Myanmar atau negara ketiga bagi penempatan pelarian itu.
Selain itu, Mastura berkata dasar kerajaan tidak membenarkan mana-mana pelarian untuk tinggal secara berterusan di dalam negara berikutan negara masih belum meratifikasikan konvensyen itu di peringkat antarabangsa.
“Sekiranya mereka boleh ditempatkan di negara ketiga dan juga negara asal, kalau tidak mengancam keselamatan mereka, kami akan berbuat begitu,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Dr. Yaakob Sapari yang ingin tahu mengenai masa depan generasi kedua dan ketiga pelarian yang tidak mahu pulang ke negara asal dan sama ada kerajaan akan menawarkan kewarganegaraan kepada mereka.
Terdahulu, menjawab soalan Yaakob yang ingin tahu jumlah pelarian di negara, Mastura berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) sebanyak 177,921 warganegara asing telah memasuki negara dan diberikan perlindungan antarabangsa oleh suruhanjaya itu setakat 31 Julai lalu, meliputi 128,185 orang pelarian dan 49,736 pemohon suaka.
Dalam aspek kebajikan, kerajaan secara dasar telah menetapkan pelarian yang memegang kad UNHCR termasuk etnik Rohingya adalah seperti kemudahan untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan dengan ditanggung oleh kerajaan sebanyak 50 peratus daripada kadar yang dikenakan ke atas golongan expatriat dan 50 peratus lagi dibayar oleh pelarian.
“Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan ini termasuklah mendapatkan bantuan dana daripada kerajaan Qatar melalui Qatar Fund for Development untuk membantu pelarian dalam isu berkaitan kesihatan, pendidikan asas dan latihan kemahiran,” katanya.
— Bernama