Kerajaan giat mengesan dan memperoleh bahan arkib di luar negara

Kerajaan giat mengesan dan memperoleh bahan arkib di luar negara

KUALA LUMPUR,. Kerajaan sedang giat mengesan dan memperoleh bahan arkib termasuk dokumen berkaitan persempadanan dan kedaulatan Malaysia yang berada di luar negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata ia dilakukan menerusi Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pakar dalam bidang berkaitan yang sedang menjalankan pelbagai usaha mendapatkan bahan berkenaan.

“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan peruntukan besar dan bergantung kepada belanjawan yang diluluskan kerajaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan yang diperlukan daripada Kementerian Kewangan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi pembelian bahan arkib tersebut.

Media tempatan tahun lepas melaporkan dianggarkan berjuta naskhah bahan arkib berkaitan Malaysia berada di luar negara dan ada di antaranya penting untuk dijadikan bahan bukti sekiranya negara berdepan konflik perebutan hak kedaulatan kawasan, sempadan atau wilayah.

Sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu turut ‘hangat’ seketika apabila isu berkaitan perarakan hari wanita di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka baru-baru ini yang dibangkitkan oleh Ahmad Fadhli Bin Shaari (PAS-Pasir Mas), yang mendakwa ia turut disertai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Perkara itu menyebabkan R.S.N Raye (DAP-Jelutong) bangkit dengan membawa Perkara 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan meminta Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan bagaimana beliau mengetahui perhimpunan itu disertai golongan tersebut sebelum berlaku pertikaman lidah.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul bijak mengawal keadaan dengan meminta kedua-dua Ahli Parlimen serta Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang cuba bangkit mencelah supaya duduk bagi menjelaskan keadaan sebenar.

“Saya ingat isu berkenaan telah berkali-kali disebut. Faktanya yang pertama sekali perarakan ini bukan dianjurkan oleh LGBT. Sesiapa yang mengambil kesempatan (terhadap perhimpunan) itu telah disiasat polis, jadi biar polis menjalankan kerjanya.

“Jadi kita tak payah masuk dalam-dalam lagi, polis sedang siasat, beri kuasa kepada polis untuk siasat, keputusannya selepas itu baru kita bincangkan sama ada ya atau tidak. Untuk itu saya nak teruskan,” katanya.

Sebelum itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) turut membangkitkan hal sama sehingga dewan kecoh seketika apabila beberapa wakil rakyat daripada kerajaan bangun meminta Wan Razali menarik balik kenyataan itu sebelum ditenangkan oleh Johari.

Sementara itu, peruntukan bagi KPN dalam Belanjawan 2023 lulus di peringkat jawatankuasa hari ini.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu lulus dengan suara majoriti selepas dibahas 16 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Antara Ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan itu adalah Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena), Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) dan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )