Kerajaan disaran kaji keberkesanan pelaksanaan inisiatif tambah pendapatan rakyat

Kerajaan disaran kaji keberkesanan pelaksanaan inisiatif tambah pendapatan rakyat

KUALA LUMPUR,. Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi disaran mencari penyelesaian bagi menambah hasil pendapatan rakyat dan negara, termasuk mengkaji dan mengukur keberkesanan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan, kata Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin.

Pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat semalam beliau mencadangkan kerajaan membuat kajian longitudinal dengan mengumpul data pendapatan dan perkembangan pekerjaan bagi setiap inisiatif yang dijalankan.

“Hasil daripada kajian tersebut harus dibentang di Parlimen dari semasa ke semasa.

“Dengan ini Parlimen boleh menilai secara objektif sama ada inisiatif-inisiatif yang diberikan kerajaan benar-benar membantu kumpulan sasaran dan seterusnya memperhalusi dan membaikinya. Dasar kita mestila berdasarkan hasil,” katanya.

Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menyasarkan golongan miskin tegar, miskin dan B40 mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

IPR yang dilancarkan pada 26 Feb merangkumi tiga model iaitu Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), diwujudkan untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian rakyat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan perlu melaksanakan pengukuhan dari segi ekonomi yang konsisten dan stabil, supaya negara berupaya menambah pendapatan dan menyelesaikan hutang negara.

Katanya, Bank Dunia baru-baru ini menggesa supaya Malaysia mencari sumber ekonomi lain agar negara mempunyai kemampanan fiskal yang stabil dan mempunyai hala tuju yang lebih baik.

“Kerajaan boleh mengambil inisiatif melihat semula formula-formula penyelesaian masalah ekonomi yang dibuat kerajaan terdahulu, yang menyaksikan walaupun ketika dunia mengalami kemelesatan ekonomi, namun Malaysia mampu mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan ketika itu,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )