Kerajaan beri keutamaan rancakkan semula pertumbuhan ekonomi – PM

Kerajaan beri keutamaan rancakkan semula pertumbuhan ekonomi – PM

KUALA LUMPUR,. Kerajaan sedang memberi keutamaan untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara bagi mengembangkan saiz dan mengembalikannya ke landasan yang sebenar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata reformasi struktur ekonomi sedang giat dilaksanakan bagi mempercepat peralihan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi selaras dengan matlamat Ekonomi MADANI untuk menjadi peneraju ekonomi Asia.

“Sasaran ini hanya akan dapat dicapai sekiranya ekonomi berkembang pada kadar 5.0 hingga 6.0 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang,” kata Anwar dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan terperinci kerajaan dalam meletakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia yang mana merupakan salah satu daripada tujuh matlamat yang ingin dicapai dalam Naratif Ekonomi Madani.

Menurut Anwar, usaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Belanjawan 2024 bagi memaksimumkan potensi pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, beliau berkata, tumpuan juga diberi untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan berasaskan teknologi termaju dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) bagi menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang kompleks serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

“Firma akan digalakkan untuk meningkatkan pelaburan dalam perolehan mesin dan peralatan bagi mengembangkan kapasiti dan produktiviti serta melabur dalam teknologi termaju seperti blockchain, kecerdasan buatan(AI) dan Analitis Data Raya.

“Firma juga akan digalakkan untuk mempergiat pelaburan hijau dalam operasi dan premis perniagaan, termasuk untuk pembangunan dan penggunaan sumber tenaga boleh baharu (TBB),” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan juga akan memudah cara bagi meningkatkan penglibatan institusi pendidikan tinggi, institut penyelidikan dan sektor swasta untuk mempercepat aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )