Kerajaan akan pastikan infrastruktur di Sabah dan Sarawak bersempadan Kalimantan bernilai strategik

Kerajaan akan pastikan infrastruktur di Sabah dan Sarawak bersempadan Kalimantan bernilai strategik

KUALA LUMPUR,. Kerajaan komited memastikan insfrastruktur yang dibina di Sabah dan Sarawak bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia, bernilai strategik bagi menarik minat pelabur, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Ia adalah susulan Nusantara yang terletak di Kalimantan akan menjadi ibu negara baharu Indonesia.

Beliau berkata kerajaan telah mengenal pasti beberapa inisiatif untuk meningkatkan ketersambungan infrastruktur dan memperkukuhkan keselamatan sempadan dan maritim.

“Negeri Sabah telah diluluskan peruntukan pembangunan asas sebanyak hampir RM5.68 bilion pada 2022 bagi pelaksanaan sejumlah 1,142 projek di bawah pelbagai kementerian.

“Harapan kita ialah dengan adanya infrastruktur ini, ia akan mula menarik peniaga dan orang ramai supaya menggunakan ketersambungan insfrastruktur di kedua-dua negara, (Malaysia dan Indonesia),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mejawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang ingin tahu cabaran yang bakal dihadapi dalam merealisasi rancangan strategik yang dirangka serta pelan tindakan awal bagi menangani cabaran tersebut.

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan juga turut merancang menjadikan Labuan sebagai sebuah pusat kewangan bagi menarik lebih banyak peryertaan daripada pelabur dan syarikat swasta menggunakan infrastruktur di wilayah itu.

“Sudah tentu bila ada isyarat yang jelas daripada kerajaan bahawa kawasan dan pembangunan sempadan ini akan menjadi tumpuan dan seterusnya merancakkan lagi pelaburan. Saya melihatnya sebagai satu peluang kepada Labuan sebagai pusat kewangan persisir pantai untuk Malaysia menarik lebih banyak penyertaan,” katanya.

Bagi menarik pelaburan, perdagangan dan perindustrian serta meningkatkan aktiviti perniagaan di kawasan sempadan, kerajaan menyedari bahawa faktor keselamatan adalah amat penting.

“Justeru, kerajaan akan terus meneliti keperluan pembinaan pos kawalan sempadan dan pos keselamatan di sepanjang sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan dari semasa ke semasa seiring dengan perancangan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri,” tambahnya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )