Kerajaan akan bincang cadangan perluas Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi

Kerajaan akan bincang cadangan perluas Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kewangan akan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai cadangan memperluaskan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi kepada pengusaha bas dan teksi yang gagal mendapatkan skim bantuan tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata sehingga 31 Okt 2021, jumlah pembiayaan skim tersebut hanya digunakan sebanyak RM505 juta daripada RM1 bilion bersamaan 1,492 akaun peminjam yang telah digunakan.

“Ini bermaksud masih ada baki peruntukan sebanyak RM495 juta untuk dimanfaatkan oleh pengusaha bas dan teksi. Sehingga kini, hanya lapan syarikat kredit yang terlibat dalam skim berkenaan.

“Pada 17 Nov lepas, kerajaan bersetuju untuk memanjangkan lagi skim rehabilitasi yang pada awalnya tamat pada 31 Dis 2021 dilanjutkan sehingga keseluruhan had jaminan pembiayaan habis digunakan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan P Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menyediakan skim pinjaman untuk pengusaha bas dan teksi dalam membantu mereka melangsaikan balik pinjaman.

Dalam Pakej Bantuan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), kerajaan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion.

Melalui skim itu, pengusaha bas dan teksi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan bayaran balik yang lebih murah serta menyediakan 50 peratus jaminan daripada jumlah had pembiayaan RM1 bilion ke atas kemudahan kredit sewa beli yang disusun semula untuk pengusaha bas dan teksi yang layak.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )