Kementerian Pengajian Tinggi sasar 75% kebolehpasaran graduan pada 2021

Kementerian Pengajian Tinggi sasar 75% kebolehpasaran graduan pada 2021

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan peratusan kebolehpasaran graduan di Malaysia pada 2021 sebanyak 75 peratus, kata Menterinya Datuk Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, peratusan itu ditetapkan selepas mengambil kira impak pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Sasaran juga mengambil kira jangkaan kadar pengangguran yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat semalam.

Peruntukan bagi KPT dalam Belanjawan 2021 itu kemudian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan suara majoriti.

Terdahulu, beberapa ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu membangkitkan isu tersebut termasuk Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu), Sabri Azit (PAS-Jerai), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam).

Sementara itu, peruntukan bagi Kementerian Pendidikan dalam Belanjawan 2021 juga diluluskan dengan suara majoriti di peringkat jawatankuasa semalam selepas dibahaskan oleh 17 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Antara yang terlibat dalam perbahasan itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi), Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam), Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) dan Teo Nie Ching (PH-Kulai).

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya menyentuh beberapa isu, antaranya peruntukan penyelenggaraan sekolah, sekolah daif, program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan inisiatif TV Pendidikan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )