KBS, MSN mula persiapan rapi ke arah penganjuran Sukan SEA 2027

KBS, MSN mula persiapan rapi ke arah penganjuran Sukan SEA 2027

KUALA LUMPUR,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) memulakan persiapan rapi dan menyeluruh ke arah penganjuran Sukan SEA 2027, dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, persiapan atlet dirangka dalam tiga fasa bermula dengan pemilihan serta pengenalpastian atlet berpotensi sepanjang tahun 2026.

Menurut beliau, fasa kedua melibatkan pemerkasaan prestasi melalui latihan berintensiti tinggi pada awal 2027, sebelum atlet memasuki fasa latihan sepenuh masa secara intensif menjelang temasya tersebut.

“Untuk memastikan prestasi ini berterusan dan meningkat, KBS melalui MSN telah memulakan persiapan rapi ke arah Sukan SEA 2027 yang mana Malaysia akan menjadi tuan rumah.

“KBS dan MSN juga telah mengadakan sesi libat urus bersama semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) pada 6 Januari 2026 bagi menyelaras hal ehwal latihan dan program berprestasi tinggi yang dirangka dalam tiga fasa,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq berkata penganjuran Sukan SEA 2027 akan melibatkan empat kluster utama iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.

Setakat ini, katanya, sebanyak 38 jenis sukan telah disenaraikan, manakala proses rayuan bagi sukan yang belum dimasukkan dibuka sehingga Mac 2026.

Dalam masa sama, MSN akan meneruskan pelaksanaan program pembangunan atlet seperti ASIAKOM sebagai persiapan ke arah Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

Beliau turut memaklumkan program Road to Gold diperkasakan dengan komitmen peruntukan RM12 juta bagi tahun ini sebagai usaha memburu pingat emas pertama negara di temasya Olimpik.

Selain prestasi fizikal, Dr Mohammed Taufiq berkata KBS turut menekankan aspek kesejahteraan mental atlet serta pembinaan semangat patriotisme, termasuk melalui kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia.

CATEGORIES
Share This