Kapasiti sekolah menengah, asrama di Lawas mencukupi

Kapasiti sekolah menengah, asrama di Lawas mencukupi

KUALA LUMPUR,. Semua sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan asrama sekolah sedia ada di kawasan Parlimen Lawas, Sarawak masih beroperasi di bawah kapasiti sebenar dan berupaya menampung keperluan pendidikan pelajar di kawasan itu.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata setakat ini, kapasiti sekolah sedia ada di kawasan itu adalah antara 68 hingga 85 peratus, manakala kapasiti asrama pula adalah antara 68.5 hingga 92 peratus.

“Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk penduduk di Parlimen Lawas iaitu SMK Lawas, SMK Merapok, SMK Trusan dan SMK Sundar. Daripada jumlah itu, tiga sekolah mempunyai kemudahan asrama bagi pelajar yang tinggal jauh dari sekolah.

“Kesemua SMK ini melaksanakan persekolahan satu sesi dan pelajar setempat dapat meneruskan pengajaran dan pembelajaran peringkat menengah di sekolah arus perdana dalam keadaan selesa memandangkan sekolah-sekolah ini masih lagi beroperasi di bawah kapasiti sebenar,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Baru Bian (PSB-Selangau) yang ingin tahu status terkini perancangan pembinaan SMK Long Semado, dengan anggaran kos RM35 juta, seperti diumumkan Menteri Tenaga, Tekonologi Hijau dan Air ketika itu sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016.

Sehubungan itu, Muslimin berkata belum ada keperluan untuk membina SMK baharu di kawasan Parlimen Lawas dalam tempoh terdekat, termasuk pembinaan SMK Long Semado.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan analisis data kemasukan (enrolmen) pelajar dari 2017 hingga 2019 oleh KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, untuk menilai kewajaran pembinaan SMK Long Semado.

“Sekiranya terdapat keperluan untuk membina sekolah baharu pada masa hadapan, KPM akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi tujuan itu,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )