Kapasiti PKRC seluruh negara capai 61 peratus – Adham Baba

Kapasiti PKRC seluruh negara capai 61 peratus – Adham Baba

KUALA LUMPUR,. Negara kini berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang lebih mencabar terutama dengan kemunculan beberapa varian baharu yang agresif, sekali gus meningkatkan kadar kebolehjangkitan wabak itu di Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba. ketika membentangkan penerangan mengenai Tindakan Menangani Pandemik COVID-19 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini berkata peningkatan jangkitan dalam gelombang ketiga adalah melalui kes sporadik yang tiada kaitan dengan kes kluster.

“Gelombang ketiga bermula 20 Sept 2020 dan masih berterusan hingga semalam, merekodkan sebanyak 1,017,787 kes positif COVID-19 dengan 8,071 kes kematian.

“Walaupun bilangan kes positif COVID-19 adalah agak tinggi, namun bilangan kes serius yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis, adalah kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Bagi menangani pandemik itu, beliau berkata kerajaan sentiasa mengambil pendekatan menyeluruh bagi melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat serta memulihkan ekonomi.

Antara langkah yang diambil bagi merawat individu yang positif COVID-19 adalah mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 dan setakat semalam penggunaan PKRC di seluruh negara mencapai tahap 61 peratus.

Dr Adham berkata untuk kemudahan di fasiliti itu Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan keseluruhannya 29,835 katil di semua 132 PKRC seluruh negara.

Beliau berkata bagi semua 221 hospital COVID-19 pula jumlah katil bukan unit rawatan rapi (ICU) adalah 15,090 di fasiliti kesihatan awam dan 1,288 fasiliti swasta, manakala bagi katil ICU melibatkan 1,405 di hospital awam dan 128 di hospital swasta.

“Peralatan perubatan seperti ventilator, patient monitor dan sebagainya turut dipertingkatkan bagi memperkukuhkan keupayaan dan sebagai kesiapsiagaan menangani pandemik COVID-19,” katanya pada sesi penerangan mengenai tindakan menangani COVID-19 pada mesyuarat khas Dewan Rakyat di Parlimen.

Sementara itu, Dr Adham berkata sebanyak RM7.13 bilion (RM1 bilion pada 2020 dan RM6.13 bilion pada 2021) yang diterima KKM digunakan untuk saringan dan rawatan pesakit COVID-19 (RM2.35 bilion), manakala RM4.78 bilion bagi tujuan perolehan vaksin COVID-19 serta consumables dan peralatan penyimpanan vaksin.

Beliau berkata berikutan keperluan semasa, KKM memohon peruntukan RM1.14 bilion perolehan tambahan bagi peralatan kesihatan seperti untuk reagen, consumables, peralatan perlindung diri (PPE) dan sebagainya.

Menyentuh soal sumber manusia KKM bagi pengurusan wabak itu, sehingga 31 April 2021 sebanyak 278,023 jawatan tetap diluluskan, selain lebih 40,000 pelantikan secara kontrak turut diluluskan dan KKM juga melantik 1,519 petugas kesihatan kontrak tambahan berdasarkan kelulusan agensi pusat untuk ditempatkan di fasiliti kesihatan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Kita tidak pasti bilakah pandemik ini akan dapat dikawal dan berakhir sepenuhnya…Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan kesihatan yang berhempas pulas dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia tidak wajar dipersiakan.

“Ada antara mereka yang telah berbulan-bulan tidak berjumpa dengan ahli keluarga dan terpaksa berjauhan demi merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit sehingga ada antara mereka sendiri yang telah dijangkiti,” katanya.

Mengenai pengesanan COVID-19, Dr Adham berkata sehingga semalam kapasiti ujian makmal RT-PCR di seluruh negara mencatat peningkatan sebanyak 1,874 peratus iaitu 122,603 sehari berbanding 6,210 pada Mac 2020.

Beliau berkata berdasarkan peningkatan keupayaan ini, kapasiti ujian setiap negeri ditingkatkan misalnya di Selangor yang meningkat kepada 2.43 juta dalam tempoh enam bulan pertama 2021 berbanding 840,165 ujian tahun lepas. – BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )