
Kalimah Allah: Cadangan perkemas peraturan dibentang dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai
KUALA LUMPUR,. Cadangan bagi memperkemas peraturan berhubung penggunaan kalimah Allah akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan juga akan merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi tujuan itu.
“Kita akan rujuk kepada MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor, akan beri pandangan, memperkemas peraturan ini supaya keputusan muktamad (mengenai penggunaan kalimah Allah) tidak boleh dipakai di Semenanjung, (dan) boleh dengan ruang dan syarat tertentu di Sabah dan Sarawak.
“Insya-Allah akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai nanti,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang ingin tahu adakah kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri terlebih dahulu sebelum menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah.
–Bernama