Kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan sedang dilaksana, dijangka siap 2025

Kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan sedang dilaksana, dijangka siap 2025

KUALA LUMPUR,. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang melaksanakan kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) secara berperingkat yang dijangka siap pada 2024.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dasar itu bertujuan menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon secara pematuhan dan sukarela di Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur.

Beliau berkata dasar itu juga selaras Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) untuk mengurangkan keamatan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

“DPKK juga dirangka untuk memudahkan pemegang taruh berkaitan seperti kerajaan negeri dan pihak swasta agar industri perdagangan karbon tempatan dapat berkembang.

“Kementerian juga akan meneruskan perbincangan berkaitan mekanisme pasaran karbon bersama kerajaan negeri memandangkan hal berkaitan tanah dan perhutanan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Nik Nazmi menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) berhubung status terkini pelaksanaan perdagangan karbon di Malaysia dan hala tuju dasar karbon kebangsaan.

Menjawab soalan tambahan Ali mengenai pengenalan cukai karbon, beliau berkata Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab menyelia soal percukaian sudah memulakan perbincangan dengan pihak terlibat termasuk Bank Dunia manakala NRES bertindak memberi input teknikal mengenai perkara itu.

“Jadi antara pengiraan yang kita ambil juga ialah hakikatnya buat masa ini, kita masih banyak subsidi kepada karbon sebagai contoh ialah petrol, diesel gas asli dan sebagainya, sebab itu kita perlu melihat perkara ini secara menyeluruh.

“Kita baru memulakan proses peralihan kepada subsidi bersasar sebelum kita melihat pelaksanaan cukai karbon sebagai satu instrumen, ini bukan soal menambah dana untuk kerajaan tetapi lebih untuk kita mencapai matlamat dalam menjadi sifar bersih karbon,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )