
Jumlah PPR terbesar di Sabah dengan 33 projek siap dibina, lima dalam pembinaan
KUALA LUMPUR,. Pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah adalah jumlah terbesar projek itu setakat ini dengan 33 projek telah siap dibina merangkumi 23,009 unit dan lima projek dalam pembinaan merangkumi 3,090 unit.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam jawapan disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan secara keseluruhan, bilangan PPR yang telah siap di Sabah adalah 21.4 peratus daripada jumlah PPR yang telah dibina seluruh negara.
Menurut KPKT, sebanyak lima projek PPR sedang dalam pembinaan di negeri berkenaan iaitu PPR Kiansom, Inanam (1,000 unit); PPR Jalan Tungku, Lahad Datu (650 unit); PPR Gayang II, Tuaran (500 unit), PPR Tagasan (500 unit); dan PPR Pitas (440 unit).
“Kerajaan akan terus komited dalam menyediakan PPR kepada golongan yang memerlukan. KPKT memohon agar Kerajaan Sabah akan terus membantu mengenal pasti cadangan lokasi yang bersesuaian untuk program-program perumahan mampu milik di bawah KPKT khususnya program PPR,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan sebanyak 154 projek PPR yang antaranya bertujuan menangani isu setinggan di bandar dan luar bandar, dibina di seluruh negara merangkumi 97,196 unit rumah setakat ini.
KPKT menjelaskan demikian bagi menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang bertanyakan perincian jumlah rumah setinggan setiap daerah di Sabah dan perancangan kementerian mengatasi masalah setinggan.
KPKT memaklumkan jumlah keseluruhan rumah setinggan di Sabah adalah 23,778 unit dengan lima daerah mencatat jumlah tertinggi iaitu Sandakan (6,516 unit), Semporna (4,297 unit), Tawau (3,600), Lahad Datu (3,711) dan Kudat (2,285).
— Bernama