Jumlah pemilikan rumah oleh warga asing terkawal – KPKT

Jumlah pemilikan rumah oleh warga asing terkawal – KPKT

KUALA LUMPUR,. Jumlah pemilikan rumah oleh warga asing bagi tempoh Januari hingga Jun lepas adalah amat rendah iaitu 398 orang (0.4 peratus) berbanding pemilikan oleh rakyat Malaysia iaitu 99,524 orang (99.6 peratus).

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan data berkenaan diperoleh berdasarkan transaksi jual beli hartanah kediaman yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

“Secara keseluruhan, transaksi ini menunjukkan pasaran hartanah kediaman bagi warga asing masih terkawal,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris (PH-Libaran) yang ingin tahu langkah atau polisi kementerian dalam soal pembelian hartanah oleh warga asing agar tidak menimbulkan spekulasi pasaran dengan mengaut keuntungan.

Kementerian itu turut memaklumkan, kerajaan negeri mempunyai dasar pemilikan hartanah bagi memastikan pihak pemaju tidak sewenang-wenangnya membina rumah mewah bertujuan untuk dijual kepada warga asing tanpa kawalan sehingga menimbulkan spekulasi pasaran harga rumah.

Menjawab pertanyaan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) berhubung pembinaan rumah mampu milik, kementerian itu memaklumkan 39,864 unit telah disiapkan dalam tempoh Julai 2018 sehingga 30 Jun lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )