Jualan Rahmah di pasar raya tawar potongan harga sehingga 30 peratus

Jualan Rahmah di pasar raya tawar potongan harga sehingga 30 peratus

MIRI,. Kerajaan persekutuan mengambil keputusan mengadakan Jualan Rahmah di pasar raya-pasar raya yang menawarkan sehingga 30 peratus potongan harga pelbagai barangan keperluan bagi meringankan beban rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, langkah itu diambil bagi menggantikan Kedai Rakyat 1Malaysia yang gagal berfungsi seperti sepatutnya.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia mewujudkan semula program kedai runcit di seluruh negara.

“Ia sama seperti konsep Kedai Rakyat 1Malaysia yang ditambah baik untuk jualan barang-barang harian dengan harga lebih murah sepanjang masa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Fuziah, setakat ini kementeriannya belum ada hasrat mewujudkan mirip-mirip Kedai Rakyat 1Malaysia.

“Ini kerana ia melibatkan banyak kos dan kita juga mengkaji kegagalan Kedai Rakyat 1Malaysia,” jelasnya.

Menurut beliau, Belanjawan 2023 membentangkan RM100 juta diperuntukkan bagi program Jualan Rahmah di 222 kawasan Parlimen seluruh negara.

“Saya mohon Ahli-ahli Yang Berhormat (Ahli Parlimen) luluskan nanti di peringkat jawatankuasa juga supaya dapat kita laksanakan di semua kawasan Parlimen,” katanya.

Mengenai satu lagi soalan Chiew, berhubung kejayaan ‘food bank’, sama ada ia diperluaskan atau sebaliknya bagi membantu golongan memerlukan, Fuziah berkata kementeriannya meneruskan usaha itu malah akan menambah baik.

“Baru-baru ini, kita meletakkan ‘retort machine’ di hotel-hotel supaya membuat persiapan makanan-makanan boleh diretortkan dan dimanfaatkan untuk program ‘food bank’ atau bank makanan,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )