Jemaah Menteri putuskan Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Jemaah Menteri putuskan Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri hari ini memutuskan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian, selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata selaras dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara tersebut dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk dipertimbangkan mengikut aturan ditetapkan.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan dan untuk memastikan bahawa Ahli Parlimen juga diberikan ruang untuk didengar dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, serta membolehkan sebarang dapatan dibuat jawatankuasa tersebut yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Kerajaan MADANI percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata usul untuk menggantung Takiyuddin daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ditangguhkan ke sesi mesyuarat akan datang.

Ia susulan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memohon agar usul berkenaan ditangguhkan.

Usul berkenaan antaranya menyebut semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar pada 22 Okt, Takiyuddin telah berucap berhubung satu kejadian melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.

Usul itu menyebut Ahli Parlimen berkenaan juga dalam ucapannya telah mengaitkan kejadian tersebut dengan Peristiwa Memali pada 1985, serangan terhadap tempat suci ibadat dan percubaan menakutkan rakyat dengan ucapannya telah memberi imej negatif terhadap anggota dan imej APMM sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut, Azalina berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk memelihara kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, di samping memastikan bahawa isu berbangkit ditangani berlandaskan kerangka demokrasi berparlimen.

oleh
BERNAMA

CATEGORIES
Share This