Jawapan Secara Lisan – Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani @MyDSA_official soalan no 4
4. PR-1423-L06715
Tuan Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan faktor kemunculan paus Orca (paus pembunuh) di perairan Kerteh berhampiran dengan Pelantar Dulang Petronas dan adakah kehadiran paus ini akan mengancam sumber perikanan negara jika perairan tersebut berkembang menjadi laluan paus-paus ini.
@MyDSA_official @moamalaysia
Jawpan Menteri
Tuan Yang di-Pertua,
1. Paus Orca atau lebih dikenali sebagai killer whale merupakan spesis terbesar dalam keluarga ikan lumba-lumba dan kebiasaannya ditemui di kawasan dingin seperti Lautan Artik. Paus spesis ini adalah pemangsa dalam rantaian pemakanan ekosistem lautan dan kebiasaannya memburu dan memakan ikan, sotong, penyu, burung laut dan lain-lain.
2. Berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, spesis yang muncul di perairan Terengganu pada 16 Julai 2019, dikenal pasti daripada sub-spesis Paus Pilot Sirip Pendek. Spesis tersebut sentiasa bergerak dalam kumpulan populasi yang banyak antara 10 hingga 50 ekor dan dipercayai menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi ekoran musim sotong pada ketika itu.
3. Paus Orca disenaraikan dalam spesis mamalia akuatik terancam dan dilindungi di bawah penguatkuasaan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985. Seekor paus spesies ini pernah direkodkan mati terdampar di Sarawak pada tahun 2013. Pasukan Petugas Kebangsaan Kadamparan Mamalia Marin telah ditubuhkan pada tahun 2009 yang disertai oleh agensi kerajaan, badan berkanun, masyarakat nelayan, universiti dan NGO yang berkaitan bagi menggerakkan usaha menyelamat mamalia marin terdampar di Malaysia.
4. Kemunculan Paus Orca ini tidak mengancam sumber perikanan negara kerana migrasi spesis ini adalah tidak kerap dan bukan dalam populasi yang signifikan. Kementerian melalui FRI boleh menjalankan kajian untuk mengkaji corak migrasi mamalia ini sekiranya ada keperluan.
Sekian, terima kasih.