Jawapan secara Lisan – Menteri Pembangunan Usahawan @officialpakwan Soalan no 2 – MP Rembau @Khairyk
2. Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau] minta Menteri Pembangunan Usahawan menyatakan sejauh manakah tahap persediaan kementerian dalam membina dan mempersiap pelan ekosistem utama dan sokongan bagi industri kereta terbang di Malaysia memandangkan prototaip pertama kereta terbang pertama negara dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun 2019 ini.
@MEDMalaysia @officialpakwan
Menteri Pembangunan Usahawan [Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof]: Terima kasih Yang Berhormat Rembau. Tuan Yang di-Pertua, kementerian telah mengenal pasti industri air mobility yang merangkumi kereta terbang sebagai salah satu game changer yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan membangunkan PKS di Malaysia. Industri ini mempunyai potensi yang tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa terutama dalam sektor infrastruktur, keselamatan, pertanian dan lain-lain. Air mobility ini mengaplikasikan teknologi terkini seperti artificial intelligence dengan izin big data mobility dan internet of things yang sedang berkembang pesat terutamanya di peringkat antarabangsa.
Sehingga kini, terdapat reka bentuk kenderaan air mobility yang telah dicadangkan kepada kementerian dan pembangunan prototaip dengan penumpang sedang giat dijalankan dan dijangka akan dilancarkan pada penghujung tahun 2019. Projek ini akan diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan. Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti yang dirancang.
Majlis Pembangunan Negara pada 20 Disember 2018 telah mengenal pasti Cyberjaya sebagai platform test-bed untuk menguji teknologi dan inovasi baharu termasuk autonomous, drone dan air mobility. Platform test-bed akan memastikan wujudnya ekosistem yang kondusif bagi pembangunan air mobility di Malaysia. Pada tahun 2016, the World Economic Forum menjangkakan bahawa air mobility akan dijadikan mod utama pengangkutan menjelang tahun 2030 dan laporan daripada PricewaterhouseCoopers menganggarkan bahawa nilai industri air mobility udara dijangka meningkat sebanyak USD130 bilion menjelang tahun 2020.
Di Malaysia, pembangunan air mobility akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan negara bersedia memenuhi keperluan industri menjelang tahun 2030. Persoalannya adakah kita sudah bersedia? Kementerian telah mengadakan penyelarasan, telah mula mengadakan penyelarasan untuk membincang hala tuju dan keperluan industri air mobility bersama pihak berkuasa, penerbangan awam (CAAM),
Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan selain daripada itu Kementerian Pengangkutan telah mengadakan sesi libat urus pada 5 September 2019 bersama agensi-agensi pelaksana untuk merangka dasar pelesenan dan garis paduan bagi memastikan kelancaran pembangunan ekosistem industri air mobility. Terima kasih.
Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Apabila Wawasan 2020 diperkenalkan, saya berumur 15 tahun dari pelbagai imaginasi para remaja pada waktu itu berkenaan apa yang ada di Malaysia pada tahun 2020 adalah kereta terbang. Jadi, saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri kerana sekurang-kurangnya impian kereta terbang itu tidak tertangguh sehingga Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Yang Berhormat Menteri seorang sahaja yang dapat menepati janji tahun 2020.
Soalan saya, kementerian ada sebut projek ini dipacu oleh sektor swasta tanpa melibatkan wang kerajaan. Kerajaan cuma jadi pemudah cara. Jadi, apakah inisiatif untuk menjadi pemudah cara kepada industri ini, pertama. Kedua, apakah pelan jangka masa panjang untuk membangunkan industri ini supaya Malaysia mempunyai competitive advantage dalam industry air mobility. Ketiga yang paling penting apakah tarikh spesifik seluruh rakyat Malaysia boleh menyaksikan Menteri naik kereta terbang seperti mana Neil Armstrong suatu ketika dahulu. Terima kasih.
Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof: Terima kasih Yang Berhormat Rembau. Tuan Yang di-Pertua, saya sebutkan tadi, ini adalah usaha berterusan selari dengan pergerakan teknologi terkini ataupun inovasi terkini di seluruh dunia. Jadi, apa sahaja bentuk usaha kita untuk memastikan industri ini bergerak dengan lebih lancar dan boleh dipercepatkan untuk kegunaan saya. Insya-Allah dalam masa terdekat menaiki kereta terbang sekiranya kita mengadakan satu undang-undang keselamatan, insurans dan sebagainya.
Perdana Menteri Malaysia kita yang Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir pernah menyatakan “Pak Wan tidak boleh naik selagi tidak ada insurans.” Ini akan juga membangunkan ataupun ada spine-off dari segi pembangunan perniagaan itu sendiri, di mana kita boleh mengadakan bidang perniagaan dari sudut ‘fee tax’, dari sudut pembinaan artificial intelligence dan sebagainya untuk memastikan hasrat yang Yang Berhormat Rembau dari umur 15 tahun dahulu sedar tahun 2020, kita insya-Allah akan terbang.
Saya hendak menyatakan di sini, kalau kita pergi ke Penang selama empat jam mungkin membawa kereta, pihak-pihak swasta dan juga usahawan-usahawan sedang berbincang dengan high technology providers untuk membolehkan kita ke Penang untuk satu jam menggunakan kaedah kereta terbang. Bukannya saya nyatakan benda itu akan terjadi, telah ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam tahun 2020. Terima kasih.
Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya amat teruja mendengar jawapan daripada Yang Berhormat Menteri kerana saya pun hendak tumpang juga, hendak balik kawasan dengan dia naik kereta terbang itu, insya-Allah. Jadi, soalan saya pada Yang Berhormat Menteri, setakat mana pencapaian kebolehan usahawan-usahawan kita di dalam industri air mobility ini gayanya di peringkat permulaan ataupun sudah ada kejayaan- kejayaan yang ingin dikongsikan bersama rakyat Malaysia. Terima kasih.
Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof: Terima kasih orang kampung saya daripada Yang Berhormat Masjid Tanah. Insya-Allah esok kita boleh terbang bersama sebab prototaip itu boleh membawa dua atau tiga penumpang. Bolehlah dia duduk sebelah insya-Allah, Tuan Yang di-Pertua. Mengenai pencapaian anak-anak dari Malaysia, sukacita saya memberi sedikit maklumat awal. Hari ini syarikat tempatan sedang beroperasi di dalam 24 negara di dunia. Dibangunkan teknologi kepakaran itu di negara kita tetapi relevan itu soalan yang dibangkitkan adakah kita bersedia? Maka kita tidak bersedia lagi untuk menerima pembangunan industri itu di negara kita.
Sebuah syarikat yang diterajui oleh anak muda hari ini telah pun keluar di sosial media dan telah pun membuat suatu announcement yang rasmi pengumuman yang rasmi Pricewaterhouse mengatakan mereka adalah sekarang ini bergiat dalam industri air mobility bertaraf ataupun di tingkatan nombor tiga di dunia dan dalam hujung tahun ini saya disarankan syarikat ini sendiri akan menjadi syarikat nombor satu di dunia, insya-Allah.
Mereka ini bergiat dalam keseluruhan industri air mobility termasuk sedikit yang disebutkan kereta terbang. Ini melibatkan contohnya UAV melibatkan servis-servis keselamatan, intelligent dan sebagainya. Jadi, pencapaian itu kita kena- saya sendiri berasa bangga kerana mereka telah pun sampai ke tahap yang boleh dikenali oleh negara-negara maju dan menjemput mereka untuk memberi servis-servis tertentu yang melibatkan air mobility.
Contoh pertama, yang kita tahu hari ini syarikat ini telah pun memenuhi ruang yang kosong begitu lama oleh sebuah syarikat yang besar, syarikat gergasi di negara Jepun dan juga mereka diiktiraf contohnya untuk mengadakan servis air mobility melibatkan keselamatan di sebuah negara di South America dan sebagainya. Itulah yang menandakan kebolehan anak-anak dari Malaysia kalau kita tidak memberi mereka galakan, kalau kita tidak menyediakan ekosistem, kalau kita tidak menyediakan undang- undang dengan adanya naratif yang simple seperti kereta terbang, maka kita boleh memetik minda mereka itu untuk membangunkan usaha mereka lebih jauh lagi. Terima kasih.
@MEDMalaysia @officialpakwan