Jawapan Secara Lisan – Menteri Luar Negeri @saifuddinabd Soalan no 3 – MP Beluran @rkiandee
3. Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Belura] minta Menteri Luar Negeri menyatakan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan prinsip “non-militarization” di kawasan Laut China Selatan dihormati oleh semua pihak khususnya kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat.
@MalaysiaMFA @saifuddinabd @rkiandee
Menteri Luar Negeri [Dato’ Saifuddin Abdullah]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Beluran di atas pertanyaan yang dikemukakan. Sebagai mana Dewan yang mulia ini sedia maklum, isu Laut China Selatan merupakan isu yang sensitif dan kompleks, kerana itu ia memerlukan pendekatan yang juga komprehensif untuk mengelakkan ketegangan antara pihak-pihak yang berkaitan. Pendirian Malaysia berhubung isu Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten untuk memastikan keamanan dan kestabilan serantau. Malaysia berpendirian semua pihak perlu menghormati undang-undang antarabangsa menyelesaikan sebarang pertelingkahan secara aman dan mengelakkan penggunaan kekerasan atau ancaman kekerasan.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pernah mencadangkan prinsip “non- militarization” di Laut China Selatan supaya ia menjadi satu perairan yang amat stabil dan kondusif untuk perdagangan. Perairan yang aman tanpa sebarang konflik secara tidak langsung akan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara serta meningkatkan saling hubungan, di samping dapat mengeratkan hubungan antara komuniti serantau.
Laut China Selatan tidak seharusnya dijadikan sebagai punca konflik antara negara. Kita konsisten dalam forum-forum antarabangsa seperti ASEAN dan sebagainya serta telah mengetengahkan konsep kawal diri atau self-restraint dengan izin dan “non-militarization” di Laut China Selatan. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah menyarankan untuk mengawal kehadiran kapal-kapal perang di Laut China Selatan. Pengawalan kehadiran kapal-kapal perang ini merupakan usaha-usaha antara usaha “non-militarization” di sana. Peningkatan kehadiran kapal-kapal perang boleh menyumbang kepada keadaan yang tegang dan risiko konflik antara pihak-pihak yang berkaitan.
Namun, Malaysia tiada halangan terhadap hak kebebasan pelayaran, freedom of navigations dengan izin, seperti yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS 1982) dengan izin. Kita tidak mahu terperangkap dalam konflik kuasa-kuasa besar seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Beluran.
Dalam hal ini, Malaysia dan negara-negara ASEAN sedang mengaplikasikan tatalaku pihak-pihak berkepentingan di Laut China Selatan atau dengan izin, Declaration on Conduct of the Parties in the South China Sea yang lazim disebut kependekannya DOC dan sekarang sedang merundingkan kod tatalaku di Laut China Selatan dengan izin, Code of Conduct in The South China Sea (COC) yakni antara ASEAN dengan China.
Pokok pangkalnya, kita akan sentiasa menegakkan kedaulatan dan kepentingan negara dalam semua urusan yang melibatkan kawasan tersebut. Terima kasih.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, ASEAN ditubuhkan di atas prinsip berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana negara yang bertelagah. Begitu juga kalau kita lihat apabila Indonesia-Malaysia dan Filipina termasuk Malaysia membentuk Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) adalah atas asas bahawa negara Southest Asia dan Laut China Selatan ini bebas daripada presence of military.
Akan tetapi, nampak sekali bahawa konsep dan prinsip ASEAN sekarang ini tidak diendahkan dan dicabuli oleh negara besar seperti Amerika Syarikat dan China. Soalan saya Tuan Yang di-Pertua, apakah masa depan ASEAN dalam konteks kebebasan, freedom neutrality ini yang kini dicabuli oleh negara besar disebabkan oleh pertelingkahan di South China Sea. Terima kasih.
Dato’ Saifuddin Abdullah: Tuan Yang di-Pertua, ada beberapa perkara di sini. Pertama, kita sentiasa mengajak negara-negara ASEAN untuk mengekalkan prinsip dengan izin, ASEAN centrality termasuk apabila kita berurusan dengan kuasa-kuasa besar khususnya dalam konteks Laut China Selatan dengan China. Oleh sebab itu, kita tidak begitu cenderung untuk terlalu mengadakan hubungan unilateral dengan China dalam soal, isu-isu maritim, boleh dalam isu bilateral, perdagangan dan sebagainya.
Kedua, soal “non-militarization” ini yang kita harus sentiasa perhatikan ialah soal memastikan supaya tidak ada penambahan kekerapan aset ataupun kapal-kapal yang hadir – maksud saya ialah kapal perang yang hadir di kawasan tersebut tidak membenarkan mereka bersauh, tidak membenarkan menambah jumlah anggota ataupun semakin menghampiri kawasan-kawasan pantai negara-negara ASEAN. Ada dua perkara di sini, pertama ialah dalam hal-hal tertentu yang boleh kita lakukan ialah dengan menghantar nota proses dan sebagainya sebagai sebuah negara dan juga membuat kenyataan sebagai sebuah ASEAN.
Cuma, persoalan kita, kalau bagi Malaysia Yang Berhormat Beluran ialah kita mahu berbuat lebih, misalnya, kawalan pantai tetapi sementelahan ini musim perbahasan bajet. Kekangan utama ialah aset. Jadi, saya minta sangat Yang Berhormat Beluran dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain ketika membahaskan peruntukan untuk – bukan untuk Wisma PUTRA, untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia – Yang Berhormat sahabat saya dari Jasin, saya fikir lebih maklum. Beliau dari – ada latar belakang itu. Saya fikir penambahan aset untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia itu antara perkara yang sangat mustahak.
Soal ASEAN itu satu bab, ini soal kita sebagai – kalau Yang Berhormat Arau ada, saya tahu Yang Berhormat Arau akan setuju untuk menambahkan aset bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Terima kasih.
Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob [Bera]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Tahniah kepada kementerian kerana sentiasa mengadakan perbincangan, hubungan diplomatik dengan negara-negara yang berkaitan untuk menyelesaikan isu di Laut China Selatan.
Akan tetapi, kalau kita lihat, negara China begitu agresif di Laut China Selatan ini dan kehadiran mereka sangat dirasai di negara kita pun, terutamanya di Beting Patinggi Ali di Sarawak. Kita percaya, selepas trade war yang berlaku antara China dengan Amerika ini, saya percaya Amerika tidak akan membiarkan dan berdiam diri di Laut China Selatan melihat kepada China yang semakin agresif ini. Soalan saya, selain daripada perbincangan diplomatik untuk mengelakkan apa yang akan berlaku di masa akan datang, adakah pihak kerajaan membuat persediaan jika berlaku sesuatu yang tidak baik, worst scenarionya, terutama apabila berlaku pertembungan di Laut China Selatan. Jadi, pertembungan secara fizikal ketenteraan misalnya, di Laut China Selatan. Jadi, apakah persediaan negara kita untuk menghadapi senario buruk ini jika berlaku? Terima kasih.
Dato’ Saifuddin Abdullah: Terima kasih Yang Berhormat Bera. Oleh sebab itu, kita baik Malaysia ataupun ASEAN kita meminta kedua-dua kuasa besar khususnya Amerika dan China untuk mereka mengurangkan atau tidak meningkatkan kehadiran kapal-kapal perang mereka.
Tahun lalu, saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini ada satu peristiwa di mana sebuah kapal perang Amerika dan sebuah kapal perang China, mereka berada di perairan antarabangsa tetapi jarak antara kedua-duanya bawah dari 50 kilometer. Bagi kapal perang yang besar, bawah 50 kilometer ini bukan perkara yang kecil. Kita memang – kerisauan yang disebutkan oleh Yang Berhormat Bera itu memang kerisauan yang sentiasa kita pantau. Beting Patinggi Ali dihadiri oleh coast guard dengan izin, coast guard China, boleh dikatakan 24 jam.
Kita ada bot-bot APMM tetapi Tuan Yang di-Pertua, kapal perang Malaysia pun yang di bawah TLDM lebih kecil daripada coast guard boat dari China. Berbalik sebenarnya soal aset Yang Berhormat. Kita boleh buat peta, kita boleh tuntut kawasan tertentu. Saya yakin, saya rasalah pertama, kita minta dijauhkan daripada berlaku. Kalau berlaku kita tidak terlibat. Akan tetapi saya berbalik kepada soal yang saya jawab kepada Yang Berhormat Beluran tadi, soalnya ialah kemampuan aset kita memang perlu ditingkatkan untuk kita mengawal perairan khususnya dalam konteks berhadapan dengan kuasa-kuasa besar di Laut China Selatan. Terima kasih.