Isu PN bina semula keruntuhan ditinggalkan PH gamatkan Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR,. Persidangan Dewan Rakyat gamat apabila Timbalan Yang Dipertua, Datuk Seri Azalina Othman Said berang dengan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang enggan duduk dan memberikan ruang kepada Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) meneruskan sesi perbahasan usul titah diraja, hari ini.
Salim terdahulu dalam giliran ucapannya menyatakan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini sedang membina semula negara selepas keruntuhan dibuat PH yang didakwa menjual aset negara dan menyebabkan hutang negara bertambah ketika tempoh pentadbiran mereka selama 22 bulan sebelum ini.
Rayer kemudiannya mencelah dan meminta Salim menjelaskan berhubung dakwaan itu dengan menjelaskan ia mempunyai sangkaan jahat menurut peraturan Dewan Rakyat, 36 (6).
Bagaimanapun Salim enggan menjawab pertanyaan itu menyebabkan Rayer membidas tindakan Ahli Parlimen Jempol itu yang membuat tuduhan berkenaan dengan meminta beliau supaya jangan membuat tuduhan jika tidak berani menjawab.
Ia menyebabkan Salim meninggikan suara dengan menyatakan bahawa kenyataannya berhubung PH menjual aset negara sudah dijawab oleh menteri berkaitan di Dewan Rakyat sebelum ini.
Azalina kemudian menegur Rayer supaya menghormati Dewan Rakyat dengan membenarkan pihaknya membuat keputusan sama ada membenarkannya bertanyakan soalan atau tidak.
“Jelutong, saya tahu anda adalah peguam berpengetahuan namun saya yang mempengerusikan persidangan ini, melalui peraturan 35, anda mesti membenarkan pengerusi membuat keputusan sama ada anda ingin bertanya soalan, …jangan rampas mikrofon. Saya tahu anda seorang peguam tetapi tolong hormati dewan,” kata Azalina.
Rayer kemudiannya mempertikaikan tindakan Azalina memberi laluan kepada Salim.
Azalina berkata; “Walaupun saya tidak habis cakap anda tetap mengganggu, bila anda dalam mahkamah, hakim akan masukkan anda ke dalam penjara kerana menghina. Tolong duduk dan benarkan saya habis bercakap, …saya sudah minta Jempol, nak jawab tak nak jawab itu giliran (floor) Jempol, …biarlah.
Rayer kemudiannya menyatakan seorang hakim tidak akan sewenang-wenangnya ‘meletakkan’ seseorang ke dalam penjara.
Serentak itu, Azalina meminta Rayer duduk dan tidak perlu mengajar beliau cara untuk bekerja dan menjelaskan beliau sentiasa memberi ruang kepada pembangkang untuk berbahas atas nama demokrasi.
Rayer terus mencabar keputusan Azalina dan enggan duduk walaupun sudah diberikan amaran.
“Sama ada anda duduk atau saya minta Bentara (Dewan) untuk meminta anda keluar, ….saya akan kira dari lima, empat, tiga, dua satu duduk atau saya minta Bentara, ….jangan persoalkan saya ….duduk, mengapa anda tidak boleh duduk sahaja, …duduk dan biarkan Jempol bercakap,” kata Azalina.