Isu lompat parti curi tumpuan minggu kedua Parlimen

Isu lompat parti curi tumpuan minggu kedua Parlimen

KUALA LUMPUR,. Selesai minggu pertama yang ‘panas’, Ahli Parlimen nampaknya lebih fokus pada minggu kedua persidangan Dewan Rakyat dengan tumpuan lebih diberikan kepada perbincangan isu rakyat walaupun tetap berlaku perdebatan hangat dalam sesi perbahasan.

Antara topik tercetusnya perang mulut ialah selepas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said melarang Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh untuk memainkan audio di dalam Dewan yang dikatakannya pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang diteruskan Isnin lalu sehingga semalam mencatat seramai 78 Ahli Parlimen daripada blok penyokong kerajaan, pembangkang dan Bebas selesai berbahas.

Cadangan Ahli Parlimen Padang Rengas daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya sistem pilihan raya baharu dipinda dengan pemilihan dibuat berdasarkan parti, bukannya calon bagi menangani masalah lompat parti dan boleh membanteras rasuah turut menarik perhatian.

Turut disentuh pada sidang minggu ini ialah isu pelantikan dan gaji pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kemungkinan pembatalan penjualan aset syarikat TH Plantations Bhd (THP), serta isu Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran yang wajib dimohon bagi sebarang penerbitan filem termasuk di media sosial.

Perkembangan projek Sistem Transit Rapid (RTS) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura yang dijadual bermula Januari 2021 dan dijangka beroperasi akhir 2026 juga dimaklumkan dalam Dewan Rakyat.

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 turut dibentang buat kali pertama.

Selain itu, kerajaan memberi komitmen pelaksanaan teknologi kelima (5G) komunikasi untuk terus dilaksanakan.

Projek kereta nasional ketiga turut disentuh Ahli Parlimen dengan kerajaan memberi jaminan syarikat bumiputera yang diberi tanggungjawab untuk membangunkan dan bekerjasama dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia untuk meneruskan usaha itu.

Isu pandemik COVID-19 juga tidak ketinggalan dibangkitkan dengan harga siling pelitup separuh muka pula akan diturunkan kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 bermula 15 Ogos ini.

Selain itu, kerajaan turut menjelaskan mengenai cadangan penggubalan RUU Pelaksanaan Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 yang antara lain akan mewujudkan peluang bagi proses pemulihan kalangan individu serta syarikat yang terkesan.

Persidangan kali ini turut menyaksikan isu membabitkan tuntutan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibangkitkan Ahli Parlimen kedua-dua negeri itu, selain isu tuntutan supaya Malaysia Timur diberikan satu pertiga daripada 222 jumlah kerusi Parlimen.

Isnin ini, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung dengan Ahli Parlimen meneruskan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )