Isu JKMPay, projek kerajaan terbengkalai antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu JKMPay, projek kerajaan terbengkalai antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR,. Isu program JKMPay dan projek kerajaan yang terbengkalai serta projek gajah putih, dijangka menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai isu berkenaan akan dibangkitkan semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Persoalan mengenai faktor penangguhan program JKMPay dan sama ada wujud konsultasi dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berhubung program itu dikemukakan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu-Bukit Gantang) pula dijangka bertanyakan Perdana Menteri berkenaan jumlah projek kerajaan yang terbengkalai dan projek gajah putih yang terbiar setakat tahun ini.

Pada sesi sama, Syed Abu Hussin akan bertanyakan mengenai langkah proaktif kerajaan melibatkan kerjasama pintar bersama pihak swasta agar duit pembayar cukai tidak terus dibazirkan seterusnya membawa pulangan ekonomi serta peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Sabri Azit (PAS-Jerai) meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan statistik kes tunggakan pembahagian pusaka mengikut negeri dan langkah kementerian menyelesaikan masalah berkenaan.

Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan bentuk kerugian yang ditanggung oleh agensi pelancongan umrah setelah perjalanan umrah ditangguhkan sementara akibat penularan COVID-19 varian Omicron.

Selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Sidang Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan bacaan kali pertama Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 selepas dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )