Isu jenayah seksual kanak-kanak antara tumpuan Dewan Rakyat

Isu jenayah seksual kanak-kanak antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR,. Isu jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak antara yang bakal mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan diajukan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ingin tahu secara terperinci sejauh mana berlaku jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia serta usaha menanganinya.

Turut dibangkitkan dalam sesi itu pertanyaan daripada Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai langkah Kementerian Pendidikan untuk memastikan pelajar di luar bandar dan golongan pelajar B40 mempunyai akses kepada peralatan pembelajaran yang setara dengan pelajar di bandar seperti pemilikan komputer riba, tablet dan mesin pencetak.

Beliau juga meminta penjelasan sama ada kajian telah dijalankan mengenai permasalahan pembelajaran dari rumah semasa pandemik COVID-19 akibat tiada peralatan teknologi maklumat bagi pembelajaran di rumah.

Selain itu, P. Prabakaran (Bebas-Batu) pula ingin tahu sekiranya Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat untuk mengawal selia harga siling bagi setiap jurusan di institut pengajian tinggi awam dan swasta memandangkan kos pendidikan semakin meningkat saban hari.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari hingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )