
Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR,. Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan menyaksikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan pembukaan sidang Parlimen di Bangunan Parlimen, jam 10 pagi.
Daripada dijadual selama sehari, ia kemudian dipendekkan untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong.
Persidangan hari ini menarik perhatian apabila ia yang pertama bagi menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.
Sidang pertama ini sepatutnya diadakan antara 9 Mac hingga 16 April lalu tetapi ditangguhkan kerana negara berdepan wabak COVID-19.
11.00 pagi: Agong selesai bertitah, berangkat meninggalkan majlis selepas bacaan doa.
10.56 pagi: Agong dan Permaisuri zahirkan ucapan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua umat Islam.
10.55 pagi: Agong ingatkan ahli Parlimen supaya menjiwai keluh-kesah rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.
10.51 pagi: Agong mahu Ahli Parlimen pamer kematangan dalam berpolitik, perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci.
10.50 pagi: Agong ingatkan ahli Parlimen supaya jangan seret negara ke kancah politik sewaktu berdepan COVID-19.
10.50 pagi: Agong bertitah, kerajaan wajar cari pendekatan membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk akibat COVID-19.
10.49 pagi: Agong bertitah, tanamkan dalam minda masyarakat sejak di bangku sekolah bahawa rasuah adalah jijik, kotor dan wajar diperangi habis-habisan.
10.47 pagi: Agong mahu usaha pulihkan sektor pelancongan yang terjejas akibat COVID-19 diteruskan.
10.46 pagi: Agong tegaskan, amalan rasuah menghalang pembentukan negara yang maju, stabil dan makmur.
10.43 pagi: Agong bertitah, perkhidmatan kesihatan yang saksama akan terus dipertingkatkan.
10.43 pagi: Agong mahu isu pemilikan rumah dan kos sara hidup golongan B40 serta M40 ditangani sebaik mungkin.
10.42 pagi: Agong bertitah, kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli akan terus diberi perhatian.
10.41 pagi: Agong tegaskan, kerajaan telah melaksana projek infrastruktur kritikal di Sabah dan Sarawak.
10.39 pagi: Agong bertitah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan jadi pencetus hala tuju baharu pembangunan negara.
10.38 pagi: Agong seru kerajaan tambah baik proses kelulusan pelaburan terutama projek berimpak tinggi bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
10.38 pagi: Agong tegaskan, RMKe-12 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat adalah fasa pertama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030
10.35 pagi: Agong tegaskan kerajaan perlu merangka pendekatan komprehensif tangani kemasukan pendatang asing tanpa izin.
10.34 pagi: Agong mahu isu penyalahgunaan dadah, penyeludupan dan pemerdagangan manusia ditangani.
10.34 pagi: Agong mahu peningkatan aktiviti ketenteraan kuasa besar asing di Laut China Selatan diberi perhatian.
10.33 pagi: Agong tegaskan tindakan prokovasi perlu dibendung, elak jadi wabak terhadap kestabilan negara.
10.33 pagi: Agong tegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan, beri jaminan penganut agama lain bebas amalkan agama mereka secara aman.
10.33 pagi: Agong minta majikan tidak membuang pekerja sewenang-wenangya kerana perniagaan terjejas susulan penularan COVID-19.
10.32 pagi: Agong yakin kerajaan akan terus berusaha minimumkan kesan buruk COVID-19 kepada rakyat dan negara, pastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin.
10.31 pagi: Agong tegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, yakin beliau akan membawa negara mendaki persada kejayaan
10.30 pagi: Yang di-Pertuan Agong berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin laksanakan amanah sebagai Perdana Menteri dengan jujur dan bertanggungjawab serta tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.
10.25 pagi: Yang di-Pertuan Agong meminta semua Ahli Parlimen berdiri memberi tepukan sebagai tanda penghargaan negara terhadap barisan hadapan negara yang bekerja keras menangani wabak COVID-19.
10.24 pagi: Agong bertitah, Malaysia hadapi COVID-19 sebagai sebuah negara yang bersatu padu, kuat, cekal dan berdisiplin.
10.20 pagi: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memulakan titah diraja bagi istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14.
9.56 pagi: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat tiba di bangunan Parlimen.
9.45 pagi: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiba di Parlimen.
9.40 pagi: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat masuk ke bangunan Parlimen sejak jam 9 pagi tadi.
8.00 pagi: Keadaan di luar Parlimen masih terkawal.
– Turut kelihatan ‘kemunculan’ dua buah kereta perisai, Barracuda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasuki kawasan Parlimen
BH membawakan liputan secara langsung majlis berkenaan dari pintu masuk Parlimen.
7.30 pagi: Sekatan jalan raya diadakan polis kira-kira 300 meter di persimpangan masuk menuju ke bangunan Parlimen.
7.20: Pengamal media dilihat mula tiba seawal jam 7.15 pagi tetapi tidak dibenarkan masuk walaupun hanya untuk berada di hadapan pintu masuk Parlimen.
– Wartawan dan jurugambar hanya dibenarkan berada kira-kira 300 meter dari pintu masuk bangunan.
– Hanya media rasmi dengan jumlah terhad dan individu yang sudah menjalankan saringan COVID-19 dibenarkan masuk ke Parlimen