Isnaraissah: Malaysia Perlu Bangunkan Wilayah Secara Seimbang, Sabah Harus Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 – Ahli Parlimen Kota Belud, Puan Isnaraissah Munirah Majilis, menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada negeri-negeri maju seperti Pulau Pinang, Johor dan Selangor semata-mata untuk memacu ekonomi negara. Sebaliknya, beliau menuntut agar pembangunan diagih secara lebih seimbang, dengan Sabah dan Sarawak diberikan peruntukan serta perhatian yang sewajarnya.

Berucap dalam perbahasan khas berkenaan kesan tarif balas oleh Amerika Syarikat, Isnaraissah menekankan bahawa Malaysia perlu segera menyesuaikan semula strategi perdagangan dan memanfaatkan peluang daripada perjanjian sedia ada seperti RCEP, CPTPP dan ASEAN Plus 3, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran besar seperti Amerika dan China.

“Jangan Terperangkap dalam Permainan Kuasa Besar”
Isnaraissah turut mengingatkan kerajaan agar berhati-hati dalam membuat keputusan terhadap tawaran atau syarat daripada Amerika Syarikat. Malaysia, katanya, tidak boleh kelihatan memihak kepada mana-mana kuasa besar.

“Apa yang penting, Malaysia tidak boleh terperangkap dalam permainan negara besar. Kita perlu berani dan bijak mencorak haluan sendiri,” ujarnya.
Sabah Punya Potensi Besar, Tapi Masih Dipinggirkan

Beliau menyatakan bahawa Sabah mempunyai sumber yang sangat luas seperti tanah subur, sumber mineral, potensi ekonomi hijau dan biru serta kedudukan strategik dalam ASEAN. Namun, potensi ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa pelaburan serius dalam:
• Infrastruktur asas
• Pendidikan teknologi dan latihan kemahiran
• Konektiviti darat, udara dan air
• Pemodenan tadbir urus syarikat tempatan
• Ketelusan berhubung status pelepasan karbon di Sabah

“Sabah bukan sahaja boleh menyumbang kepada ekonomi negara, malah memperkukuh daya tahan Malaysia menghadapi krisis global seperti tarif balas ini,” katanya lagi.

Pendidikan, Gaji, dan Pekerja Asing Jadi Isu Utama
Isnaraissah turut membangkitkan isu gaji rendah di Sabah yang mendorong rakyat berhijrah ke Semenanjung dan luar negara. Beliau menyarankan penambahbaikan sistem pendidikan, terutama dalam bidang TVET dan STEM, dengan pendekatan yang lebih inklusif, menyeronokkan dan seimbang di seluruh negara.

Beliau juga menekankan perlunya dasar jangka panjang untuk melindungi tenaga kerja tempatan daripada dibayangi oleh pekerja asing.

R&D dan Inovasi: Sektor Swasta Perlu Bangkit
Menurut Isnaraissah, nisbah perbelanjaan R&D di Malaysia masih terlalu berat sebelah kepada kerajaan. Beliau menyarankan sektor swasta agar mengambil peranan lebih aktif, seperti yang dilakukan oleh negara-negara jiran seperti Singapura.

“Kalau mahu tahan diuji, Malaysia mesti cipta ‘positive leverage’ — sama ada melalui kemahiran, sumber atau teknologi. Tapi ini tidak boleh dicapai dalam sehari, kita perlukan perancangan jangka panjang dan pelaksanaan yang konsisten,” katanya.

Tuntutan RMKe-13: Peruntukan Besar untuk Sabah dan Sarawak
Mengakhiri ucapannya, Isnaraissah menyeru kerajaan agar memastikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) memberi fokus khas kepada pembangunan Sabah dan Sarawak.

“Like it or not, Sabah dan Sarawak perlu diberi keutamaan. Kita perlukan pemimpin negeri yang benar-benar boleh bekerja dan bukan sekadar menjadi wakil di atas kertas,” tegasnya.

-ParliamentNews

CATEGORIES
Share This