Internet Perlahan Waktu PKP: Menteri Janji Akan Atasi

Internet Perlahan Waktu PKP: Menteri Janji Akan Atasi

KUALA LUMPUR,. Semua 13 syarikat telekomunikasi di negara ini sedang berusaha menambah baik capaian Internet di kawasan perumahan yang dilaporkan perlahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, masalah itu berlaku kerana penggunaan Internet meningkat secara mendadak kerana orang ramai tidak boleh keluar selain ada yang bekerja dari rumah.

“Secara umumnya komposisi capaian Internet mempunyai tiga komponen iaitu kawasan perumahan, pejabat dan jalan raya. Mereka (syarikat telekomunikasi) sedang bertungkus-lumus untuk memastikan akses Internet di kawasan perumahan tidak terjejas.

“Mereka berusaha untuk memastikan kita tidak ‘runtuh’ daripada segi capaian dan sedang berusaha ‘menugasi semula’ tiga komponen itu supaya lebih pemberatan di kawasan perumahan agar akses Internet dapat dikekalkan pada tahap yang baik,” katanya.

Saifuddin berkata demikian selepas meninjau hab simpanan barang sumbangan Covid-19 bagi Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah membuka 48 kertas siasatan berkaitan Covid-19 iaitu 46 kes membabitkan berita palsu manakala bakinya berkaitan elemen jelik.

Daripada jumlah itu, kes paling banyak direkodkan di platform laman sosial Facebook iaitu sebanyak 37 kes, diikuti Twitter (7), WhatsApp (3) dan satu di laman web.

“Kita juga mempunyai 24 kes dalam siasatan aktif iaitu di peringkat pemantauan mengenal pasti suspek dan analisis forensik. Selain itu, SKMM mendakwa enam individu di mahkamah, manakala lima lagi dikeluarkan notis amaran.

“Ini bukan angka yang baik kerana kita sedang menangani isu Covid-19. Setiap hari, Pasukan Respon Pantas kementerian juga perlu menafikan lima atau enam berita tidak sahih yang tular di laman sosial,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )