Ingkar arahan Timbalan Speaker, Ahli Parlimen Besut digantung tiga hari

Ingkar arahan Timbalan Speaker, Ahli Parlimen Besut digantung tiga hari

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh diarah keluar dan digantung selama tiga hari daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula semalam.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Md Nor mengeluarkan perintah itu selepas Che Mohamad kerap kali bangun mencelah dan enggan duduk apabila diarahkan berbuat demikian walaupun telah diberikan amaran sebanyak tiga kali.

Ia berlaku ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh sedang menjelaskan tentang persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung penggunaan bahasa Inggeris dalam dua daripada empat rang undang-undang yang akan dibentangkan pada persidangan semalam.

“Yang Berhormat duduk… Yang Berhormat kali ketiga saya suruh duduk, duduk…Bentara, tiga hari, selesaikan,” kata Ramli selepas Che Mohamad kelihatan masih berdiri.

Che Mohamad yang tidak berpuas hati kemudian mempertikaikan arahan itu kerana mendakwa beliau telah duduk ketika perintah itu dikeluarkan.

“Saya dah duduk dah pun, kenapa keputusan dibuat selepas (duduk)… sepatutnya ia dilakukan semasa saya berdiri,” katanya yang kemudiannya diiringi keluar oleh Bentara yang bertugas.

Sebelum itu persidangan Dewan Rakyat hangat apabila Takiyuddin mempersoalkan mengapa dua daripada rang undang-undang yang akan dibentangkan pada hari ini menggunakan bahasa Inggeris sedangkan dua lagi rang undang-undang mempunyai dwi bahasa.

“Kenapa berlaku begini, adakah ini satu perubahan kepada amalan Parlimen…ini bukan mahkamah yang peguam boleh berbahasa Inggeris sepenuhnya, tetapi ini dewan rakyat yang diiikuti rakyat sepenuhnya,” katanya.

Ramkarpal yang kemudian bangun untuk menjelaskan perkara itu selepas diminta oleh Ramli berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana perkataan itu turut digunakan kerajaan sebelum ini, namun tidak pula menjadi isu.

“Bagi Kanun Acara Jenayah dan Penal Code, authority teksnya adalah dalam bahasa Inggeris. Itu sebabnya kami membawa perkara ini di dalam bahasa Inggeris, tidak ada apa-apa muslihat atau tujuan lain… dan saya percaya timbalan menteri sebelum saya juga membawa perkara ini dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin berkata dakwaan yang dilontarkan oleh pihak pembangkang berhubung isu itu adalah tidak wajar dan hanya sekadar cubaan bagi memburukkan Kerajaan Perpaduan.

“D.R 5/2023 Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 adalah versi yang 100 peratus sama dengan versi D.R 33/2022 yang telah dibentangkan dan diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Okt 2022 sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Okt 2022 sebelum ini.

“Kenapa ia dibawa kembali adalah kerana (pindaan itu) tidak sempat dibawa ke Dewan Negara, itu sahaja. Saya minta pihak pembangkang jadilah pembangkang yang konstruktif,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )