Individu cari kerja di luar negara dinasihat guna agensi pekerjaan berlesen
KUALA LUMPUR,. Rakyat Malaysia yang mahu bekerja di luar negara dinasihat menggunakan agensi pekerjaan swasta yang mempunyai lesen sah untuk merekrut pekerja.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata melalui Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246), mana-mana syarikat yang ingin merekrut pekerja tempatan untuk bekerja di luar negara perlu diberikan lesen kategori B dan C di bawah akta tersebut.
“Mana-mana syarikat atau pihak yang didapati menjalankan aktiviti merekrut pencari kerja tempatan untuk bekerja di luar negara tanpa lesen, mereka boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shahudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) mengenai adakah kadar upah yang tinggi menjadi punca ramai rakyat Malaysia sanggup bekerja secara haram di Australia dan apakah tindakan diambil bagi mengelakkan lebih ramai menjadi buruh paksa di negara terbabit.
Awang berkata sehingga kini, tiada aduan terhadap agensi pekerjaan swasta yang berlesen di bawah Akta 246 yang melakukan eksploitasi terhadap pekerja tempatan yang bekerja di luar negara.
Dalam pada itu, beliau mengakui kadar upah tinggi di negara maju seperti di Australia dan Korea Selatan menarik rakyat Malaysia ke negara tersebut untuk bekerja.
“Di Australia kadar gaji minimum ialah ASD$20.33 sen sejam atau bersamaan RM84.28 sejam manakala di Korea Selatan pula kadar gaji minimum ialah USD$8 sejam atau bersamaan RM33.16 sejam, ini secara tidak langsung menarik pekerja tempatan untuk bekerja di sana,” katanya.
— Bernama