HPV kaedah baharu ganti pap smear menjelang 2023

HPV kaedah baharu ganti pap smear menjelang 2023

KUALA LUMPUR,. Kerajaan menyasarkan pemeriksaan pap smear bagi mencegah risiko kanser pangkal rahim akan digantikan dengan kaedah yang lebih selesa, menjelang 2023.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan, 60 peratus wanita tidak melakukan pemeriksaan pap smear, sejak tiga tahun lalu.

Susulan penelitian lanjut, katanya, kegagalan menjalani pemeriksaan bagi mengesan potensi kanser pangkal rahim itu sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan aspek kewangan.

“Sebaliknya, kita dapati wanita enggan buat pemeriksaan pap smear kerana ia mencetuskan ketidakselesaan kepada mereka, selain wujud perasaan malu untuk menjalani ujian berkenaan.

“Oleh itu, kita sekarang memperkenalkan kaedah baharu, iaitu menggunakan pemeriksaan Virus Papiloma Manusia (HPV) bagi menggantikan pap smear dan ia kini dijalankan menerusi satu projek perintis membabitkan empat negeri, sejak tahun lalu.

“Menggunakan kaedah pemeriksaan HPV, seorang wanita hanya perlu melakukan ujian setiap lima tahun, berbanding tiga tahun sekali sekiranya bersandarkan kaedah pap smear.

“Selain itu, kelebihan kaedah HPV ini dapat dijalankan secara sendiri dengan hanya menggunakan peranti calitan (swab device) yang kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan untuk menjalani ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR),” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan June Leow Hsiad Hui (PKR-Hulu Selangor) langkah kerajaan untuk meningkatkan kadar pemeriksaan bagi mencegah kanser pangkal rahim dalam kalangan wanita di negara ini.

Kepada soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) mengena pendekatan kerajaan untuk memudahkan capaian saringan menggunakan kaedah HPV, Dr Noor Azmi, berkata keputusan projek rintis di empat negeri, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Kelantan dan Kedah sangat memberangsangkan.

Beliau berkata, 98 peratus individu yang menjalani ujian berteraskan kaedah HPV berupaya melakukan proses berkenaan secara sendiri, malah dapatan awal menyaksikan ramai bebas daripada jangkitan virus terbabit.

“Jadi, kerajaan akan teruskan projek rintis ini ke empat negeri lagi dan menjadi hasrat kita untuk gantikan saringan kanser pangkal rahim menggunakan ujian HPV menerusi PCR.

“Jadi saya harapkan suami, penjaga lain menasihati wanita kita supaya sedar dan insaf mengenai kanser ini kerana ia berupaya membunuh masa depan kita,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )