
GPS penyelamat “Native Territorial Domain” – Abang Johari
SIBU, 7 Okt — Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi penyelamat “Native Territorial Domain” (NTD) yang meliputi Pemakai Menoa dan Pulau Galau apabila ia meminda Kanun Tanah Negeri Sarawak tahun lepas.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pindaan itu telah memperuntukkan kuasa kepada NTD yang membolehkan penduduk pribumi memiliki dan menggunakan tanah itu.
Beliau merujuk kepada rayuan oleh Tuai Rumah Sandah Tabau dan Siew Libau yang ditolak oleh Mahkamah Persekutuan untuk semakan keputusan bahawa hukum adat tidak mempunyai kuasa perundangan di Sarawak, beliau berkata ia tidak relevan kerana pindaan Kanun Tanah Negeri memperuntukkan kuasa kepada NTD.
Abang Johari berkata pindaan itu dilakukan selepas perbincangan demi perbincangan diadakan dengan pemmpin komuniti, pakar perundangan dan pihak-pihak laIn yang berkaitan, katanya selepas merasmikan Forum Kanun Tanah (Pindaan) 2018 bagi Wilayah Tengah Sarawak di sini hari ini.
“Beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah untuk menyelesaikan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) deengan berhati-hati untuk faedah pemilik,” kata beliau dan menambah majoriti besar penduduik suku kaum menghargai usaha kerajaan negeri.
Beliau, bagaimanapun berkata, ada yang mempersoalkan langkah kerajaan negeri dan malah menghasut pemilik tanah untuk membantah operasi seperti survei perimeter di bawah Seksyen 6 untuk menentukan sempadan antara negeri dan tanah NCR .
“Mereka juga mempersoalkan keputusan kerajaan untuk menghadkan saiz NTD kepada 1,000 hektar. Mereka tidak mempedulikan hakikat bahawa saiz ini melebihi tanah NCR
“Apa yang kita lakukan adalah berpandukan undang-undang negeri. Pengurusan tanah kita adalah berdasarkan undang-undang tanah kita. Kami tidak boleh membiarkan orang membuat tuntutan bertindih kerana ini akan menyebabkan perbalahan di kalangan mereka sendiri, ” katanya.
Ketua Menteri berkata kerajaan tidak mengurangkan saiz NTD dan pindaan itu bertujuan untuk mewujudkan pengurusan tanah yang lebih berstruktur di negeri ini.
— BERNAMA