Fungsi JKDM tidak bertindih dengan JPKK, JPKKP

Fungsi JKDM tidak bertindih dengan JPKK, JPKKP

KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI (JKDM) berperanan sebagai pelengkap dan nilai tambah dalam usaha menyantuni rakyat, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Justeru beliau berkata fungsi JKDM tidak bertindih dengan tugas yang diperuntukkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Menurut Rubiah JPKK dan JPKKP berperanan untuk mengurus dan mentadbir sesuatu kampung manakala JKDM bertindak menyelaras program sosioekonomi dan keusahawanan di kawasan berkenaan.

“Ini merupakan langkah proaktif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam usaha menghapuskan kemiskinan tegar di peringkat akar umbi,” katanya menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Shaharizukirnain ingin tahu sama ada kerajaan telah menjalankan kajian berhubung penubuhan JKDM serta adakah terdapat pertindihan antara jawatankuasa itu dengan fungsi JPKK dan JPKKP termasuk dalam usaha membasmi kemiskinan di luar bandar.

Rubiah berkata antara program dianjurkan JKDM ialah Program Perintis Keusahawanan, Program Pengukuhan Keusahawanan, Program Insentif dan Pembangunan Perniagaan, Program Promosi dan Pemasaran serta Program Kebun Sahabat Komuniti Desa.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menjadi urus setia untuk menggerakkan JKDM selain menerusi jawatankuasa itu, ia membolehkan data e-Kasih dan maklumat semasa rakyat termiskin terus dipantau selain rakyat dapat disantuni mengikut keperluan semasa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )