Ekonomi tidak sepatutnya terabai dengan pertukaran kerajaan

Ekonomi tidak sepatutnya terabai dengan pertukaran kerajaan

KUALA LUMPUR,. Malaysia, sama seperti banyak negara serantau dan antarabangsa, sedang bergelut dengan pelbagai isu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi.

Walaupun banyak perkara yang mempengaruhi pertumbuhan global masih belum diselesaikan, ekonomi dunia terpaksa pula berhadapan dengan wabak COVID-19.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengumumkan bahawa wabak itu berkemungkinan boleh menjejaskan antara 0.1 dan 0.2 mata peratusan kadar pertumbuhan global tetapi ini mungkin disusuli dengan pemulihan pada tahap yang lebih pesat.

Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka, tidak terkecuali daripada perkembangan ini.
Wabak COVID-19 diramal akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama tahun ini.

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kesan penuh wabak di peringkat global dan negara khususnya, kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan untuk penerbangan, peruncitan dan pelancongan dalam usaha mengurangkan impak negatif COVID-19 yang berasal dari Wuhan, China.

Bulan lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, yang terendah sejak Mac 2011 dan menggambarkan masih terdapat ruang untuk satu lagi pemotongan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Malaysia seperti biasa telah membuat persediaan.

Bagaimanapun, semua jaminan dan kesediaan hanya boleh dilaksanakan melalui kerajaan yang stabil kerana ia merupakan tanda aras yang terbaik bagi mana-mana pelabur, domestik atau antarabangsa.

Sebarang perkhabaran mengenai perubahan pemerintahan apa-apa sahaja di sepanjang garisan ini akan memberi kesan terhadap persekitaran ekonomi semasa, yang sudah pun diketahui rakyat serta pelabur khususnya, apabila mereka menyaksikan perubahan buat kali pertama dalam enam dekad selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada 2018.

Mungkin ini akan menjadi norma baharu di Malaysia yang perlu diterima, selaras dengan kata “perubahan tidak dapat dielakkan”, dengan syarat kerajaan tidak mengabaikan usaha mengembangkan ekonomi, menarik pelaburan langsung asing dan penjanaan pekerjaan.

Dalam Bajet 2020, Malaysia telah mengkaji semula sasaran defisit fiskal 2020 kepada 3.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar berbanding tiga peratus sebelum ini di berikutan kemerosotan pendapatannya.

Bagi mencapai sasaran ini, ekonomi perlu terus berkembang.

Semua projek infrastruktur yang sebelum ini terhenti, telah diberi kebenaran untuk dijalankan.

Ekonomi Malaysia pada 2020 dijangka akan disokong oleh kerja-kerja infrastruktur bernilai lebih kurang RM120 bilion merangkumi Lebuhraya Pan-Borneo, Transit Aliran Ringan 3,Transit Aliran Massa 2 dan Laluan Kereta Api Pantai Timur yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kota Bharu.

Inisiatif lain termasuk pembinaan Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion serta program pekerjaan selama Malaysia@Work selama lima tahun yang akan menyediakan 350,000 peluang pekerjaan untuk mereka yang menganggur melalui insentif gaji bulanan sebanyak RM500 kepada pekerja dan RM300 bulanan kepada majikan yang mengupah pekerja tempatan.

Untuk membolehkan kesemua ini membuahkan hasil, kestabilan politik, yang sentiasa menjadi kekuatan negara, harus diberi keutamaan dan tidak seharusnya rapuh dalam apa-apa keadaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )