Dewan Rakyat: WCE siap 66.5 peratus

Dewan Rakyat: WCE siap 66.5 peratus

KUALA LUMPUR,. Status kemajuan pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) setakat 25 Jun lalu adalah pada kadar 66.51 peratus.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata pembukaan seterusnya bagi WCE yang merentasi Perak dan Selangor akan dilakukan pada pertengahan Ogos tahun depan, membabitkan jajaran Seksyen 11 lebuh raya berkenaan.

“Ia mencakupi jajaran dari Persimpangan Bertingkat Beruas ke Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Teh Kok Lim (DAP-Taiping) mengenai status terkini dan jangkaan tarikh siap WCE.

Kepada soalan tambahan Kok Lim berhubung langkah kerajaan untuk memastikan WCE siap mengikut tempoh lanjutan ditetapkan, Eddin mengakui projek lebuh raya dengan keseluruhan jajaran sepanjang 233 kilometer itu berdepan kelewatan, susulan beberapa faktor.

“Kita ambil contoh pembinaan dari Beruas ke Taiping Selatan sepatutnya jika mengikut jadual, siap pada tahap 54 peratus, tetapi perangkaan semasa menunjukkan ia hanya berada pada tahap 33 peratus.

“Kita jangkakan pakej seksyen ini akan siap pada Ogos 2021. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau untuk memastikan kontraktor mematuhi jadual ditetapkan.

“Ia termasuk memberi notis amaran supaya perkara sama tidak berulang, namun kita harus mengambil kira faktor semasa dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memberikan tambahan masa sama ada minimum 84 hari atau maksimum 114 hari,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )